JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

FMBA Sambut Baik Inisiatif, Langkah Proaktif Sim Tangani Isu Usahawan PMKS

08/01/2026 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) memuji pendekatan proaktif dan inklusif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dalam menangani isu dihadapi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengerusinya Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata sesi libat urus semalam, membuktikan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah pimpinan Sim mengamalkan dasar pintu terbuka serta mengutamakan kerjasama strategik antara Kerajaan MADANI dan sektor swasta.

Beliau berkata Sim yang membawa cabaran dihadapi PMKS ke peringkat tertinggi negara melalui pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas serta sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam, mencerminkan kesungguhannya dalam memastikan suara serta denyut nadi PMKS diberi perhatian sewajarnya.

“Kerjasama erat ini penting bagi memastikan pelaksanaan strategi ABCD (Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran) yang diperkenalkan dapat direalisasikan secara berkesan dan memberi impak langsung kepada pemain industri,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Abdul Malik  juga menyambut baik pengumuman inisiatif sokongan PMKS bernilai RM80 bilion oleh Anwar baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai manifestasi jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan dan memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan.

“Kami berharap inisiatif ini dapat membantu menangani isu akses pembiayaan, memudah cara birokrasi serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih kondusif dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, pihak industri berpuas hati dengan hasil pertemuan itu dan komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Sim serta KUSKOP bagi memperkukuh daya saing PMKS dalam keseluruhan rantaian ekonomi negara.

Pertemuan pertama sejak Sim dilantik menerajui KUSKOP itu turut dihadiri oleh Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Malaysia Interior Industry Partner (MIIP), Persatuan SME Malaysia, Business Networking Club (BNC) serta Persatuan Penjual Buku Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan