JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Menteri Kabinet Sambut Perutusan 2026 PM, Fokus Reformasi Institusi Dan Kebajikan Rakyat

05/01/2026 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Barisan Menteri Kabinet menyambut baik Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sambil menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan agenda reformasi di kementerian masing-masing bagi mempercepatkan pembangunan negara serta menjamin kebajikan rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook berkata perutusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa pentadbiran negara berteraskan ketelusan dan integriti dengan meletakkan Reformasi Institusi sebagai teras utama.

Ini termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, penggubalan RUU Kebebasan Maklumat (FOI), penubuhan Institusi Ombudsman serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Selain itu, beliau berkata demi memastikan manfaat pembangunan dan penjimatan kerajaan disalurkan terus kepada rakyat, terutamanya golongan rentan, kerajaan mengambil langkah berani dengan melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dan diesel agar penjimatan hasil pelaksanaannya dapat digunakan untuk bantuan lain seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Apa yang paling menyentuh hati saya selaku Menteri Kesihatan, PM Anwar turut mengumumkan berita gembira apabila sebahagian daripada lebihan dana SARA 2025 bernilai RM150 juta kini diperuntukkan khas bagi pembelian peranti perubatan untuk golongan miskin.

“Ini adalah manifestasi jelas prinsip ‘tiada siapa akan ditinggalkan’ bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada mendapatkan rawatan terbaik hanya kerana kekangan kewangan,” katanya dalam hantaran itu.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan perutusan itu bukan sekadar ucapan tetapi arahan jelas terutamanya kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memastikan segala projek pembangunan negara dilaksanakan dengan segera, pantas dan integriti.

Beliau berkata antara arahan utama yang diberikan, termasuk memastikan semua projek infrastruktur dilaksanakan tanpa kelewatan birokrasi, khususnya di peringkat negeri dan daerah, selain mempercepatkan pelaksanaan projek kecil kategori G1 hingga G4 melibatkan peruntukan RM2.4 bilion.

Nanta berkata semua kementerian turut diarahkan mengenal pasti projek kecil berimpak tinggi selewat-lewatnya Februari ini, dengan memberi fokus kepada projek yang cepat siap dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Sebagai menteri yang mengemudi KKR, saya akan memastikan setiap arahan ini diterjemahkan di peringkat pelaksanaan agar pembangunan sampai kepada rakyat, ekonomi terus digerakkan dan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan terus diperkukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo turut menyambut baik ucapan berkenaan dengan menekankan kepentingan pembaharuan institusi dan pendigitalan dalam memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya menyambut baik pembentangan RUU berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada tahun ini.

“Pembaharuan institusi seperti ini amat penting dalam memperkukuh prinsip tadbir urus yang baik, memastikan sistem semak dan imbang yang berkesan, serta terus memperteguh komitmen kerajaan terhadap ketelusan, kebertanggungjawaban dan kedaulatan Perlembagaan demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Selain itu, Gobind turut menegaskan kementerian itu juga akan mengutamakan pelaksanaan sistem digital bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, dengan RUU FOI sebagai tumpuan utama.

Beliau berkata RUU itu akan berperanan sebagai pemangkin kepada tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk mengakses maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan dijamin dan dilindungi oleh undang-undang.

“Kami pasti akan menjunjung mandat Perdana Menteri dengan komitmen penuh, dalam usaha merealisasikan Malaysia digital yang aman, makmur dan inklusif untuk semua,” katanya.

Terdahulu, pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar menyampaikan 11 perutusan, antaranya menaikkan gaji hakim mahkamah selepas 10 tahun tiada kenaikan, pemberian SARA RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas bermula pada 9 Feb dan sebagainya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong menyifatkan pengumuman Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri sebagai langkah praktikal dan strategik yang mampu memberi kelegaan segera kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Beliau berkata kementerian itu akan menumpukan pelaksanaan 10 inisiatif utama termasuk pembiayaan tambahan kepada PMKS yang belum pernah mendapat pembiayaan, selain pengecualian serta pengurangan cukai perkhidmatan sewaan premis selama satu tahun.

Inisiatif itu turut memberi ruang kepada 10,000 peniaga-peniaga kecil, kedai-kedai kecil termasuk koperasi, terutamanya di kawasan luar bandar untuk menyertai rangkaian program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Inisiatif bernilai hampir RM80 bilion ini berfungsi sebagai suntikan sokongan kepada sektor PMKS khususnya dalam meningkatkan kecairan aliran tunai dan memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

“KUSKOP turut menyambut baik dan komited terhadap penekanan PMX untuk memperkasakan perkhidmatan tanpa kertas serta melaksanakan reformasi bagi mempermudah proses birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan