JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat, Sabah Kekal Setakat Pagi Ini

09/01/2026 10:16 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat semula manakala di Sabah kekal dengan keseluruhan 952 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.

Di SARAWAK, mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 319 orang daripada 93 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 105 orang daripada 37 keluarga pada 4 petang semalam selepas tujuh PPS baru dibuka malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), PPS yang baru dibuka itu adalah PPS Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong di Bau; Balai Raya Kampung Betong Kanowit, PPS Dewan Taman Duranda Emas, PPS St Peter Simpok, PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru dan ⁠PPS SK Tanah Merah di Siburan serta PPS SK Endap di Samarahan.

PPS SMK Bekenu, Subis di Miri juga masih kekal beroperasi.

Di SABAH pula, mangsa banjir di daerah Beaufort kekal 633 orang daripada 215 keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon, Dewan Resendensi PR1MA Woordford Estate dan Dewan Sri Dayang Shahbandar Padas Damit.

Sekretariat JPBN, dalam satu kenyataan memaklumkan bencana itu menjejaskan penduduk di 12 kampung di daerah itu sejak seminggu lepas, antaranya Kampung Suasa, Kampung Bangkalalak, Kampung Mentulud, Kampung Naparan dan Kampung Bukau.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk bermula 6.30 pagi tadi sehingga esok di Sarawak, melibatkan kawasan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong (Pusa dan Betong).

Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan di bahagian lain negeri berkenaan, iaitu Kuching (Lundu), Sri Aman (Lubok Antu), Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan laman media sosial rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca atau menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan