JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Perpaduan, Belas Kasihan Penting Harungi Dunia Semakin Berpecah Belah - Fadillah

25/02/2026 06:18 PM

SUBANG JAYA, 25 Feb (Bernama) -- Perpaduan, belas kasihan dan budi pekerti ialah nilai penting dalam mengharungi dunia yang semakin berpecah belah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kepelbagaian wujud bagi memupuk kefahaman, bukannya perpecahan serta al-Quran kekal sebagai panduan sepanjang zaman bukan sahaja dalam ibadah, tetapi juga dalam kepimpinan, tadbir urus dan hubungan sosial.

"Dalam dunia yang dipenuhi dengan suara-suara yang bersaing, al-Quran menyeru kita kembali kepada kebenaran: kepada kejelasan berbanding kekeliruan, kepada rahmat berbanding perpecahan, dan kepada tujuan berbanding kebisingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku edisi antarabangsa yang dikemas kini The Quran and I: Memoir of an Entrepreneur Who Grew Up In Poverty and Multicutural Malaysia di sini, hari ini.

Fadillah berkata perpaduan, dalam tradisi al-Quran, bukanlah bermaksud keseragaman, sebaliknya keharmonian, memilih kefahaman berbanding syak wasangka dan maruah berbanding perpecahan.

"Al-Quran menawarkan jawapan yang kekal relevan. Ia menyeru keseimbangan, belas ihsan, dan perlindungan maruah manusia," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata masyarakat majmuk di Malaysia menjadi "contoh ketara" kewujudan bersama secara harmoni, dengan masjid, kuil, gereja dan gurdwara terletak bersebelahan.

Fadillah berkata perpaduan negara dibina melalui amalan harian seperti semangat kejiranan, saling menghormati dan kesediaan melihat nilai kemanusiaan mengatasi perbezaan.

"Dari Sarawak ke Pulau Pinang, dari Sabah ke Selangor, rakyat Malaysia sudah lama mengamalkan perkara yang diajarkan al-Quran – bahawa kekuatan bukan terletak pada pemisahan, tetapi pada kehidupan bersama.

"Perpaduan, bagi kita, bukan sekadar slogan, tetapi amalan harian," katanya.

Ditulis oleh usahawan Anas Zubedy, buku itu mencerminkan keimanan peribadi dan pengalaman membesar dalam masyarakat Malaysia yang berbilang budaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan