JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lantik Wakil Orang Asli Dalam Majlis Perpaduan, Pendidikan - Senator

25/02/2026 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan digesa melantik wakil daripada masyarakat Orang Asli dalam Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Majlis Pendidikan Negara bagi memastikan suara golongan itu diambil kira dalam penggubalan dasar.

Senator Manolan Mohamad berkata melihat keperluan masa kini, suara Orang Asli diperlukan kedua-dua majlis itu atau mana-mana badan penasihat pendidikan tertinggi supaya setiap keputusan yang dibuat inklusif dan responsif terhadap realiti sebenar. 

“Suara Orang Asli mesti berada di meja pembuat dasar. Tanpa pembetulan naratif dan penglibatan ini, sejarah dan perpaduan yang kita cita-citakan akan sentiasa bersifat tidak lengkap. 

“Sebelum ini, keputusan dasar pendidikan sering dibuat tanpa mengambil kira realiti di perkampungan Orang Asli yang berdepan masalah akses internet, jarak sekolah yang jauh, keciciran murid dan cabaran bahasa ibunda,” katanya ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, beliau yang mewakili komuniti Orang Asli turut menyentuh mengenai isu kurikulum sejarah di sekolah rendah dan menengah yang didakwanya masih kurang memberikan ruang adil kepada sumbangan masyarakat Orang Asli dalam pembinaan negara, terutama sewaktu era darurat dan pasca-kolonial.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bersama ahli akademik dan tokoh masyarakat Orang Asli untuk mengkaji semula kandungan modul khas berkaitan sejarah, budaya dan adat Orang Asli dalam buku teks sejarah sekolah, selain mewujudkan bahan penggayaan digital dan dokumentari.

“Ini penting bagi membolehkan generasi muda memahami fakta bahawa Orang Asli adalah sebahagian arus perdana sejarah negara kita,” katanya. 

Sementara itu, Senator Pele Peter Tinggom mencadangkan agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dimasukkan sebagai komponen utama dalam silibus pembelajaran sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Beliau berkata cadangan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya niat asal MA63 yang berteraskan perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh.

Beliau berkata langkah itu boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan MADANI melalui sistem pendidikan nasional bagi memastikan generasi muda memahami asas pembentukan Malaysia serta semangat yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.

Sementara itu, Senator Azahar Hassan mencadangkan agar kerajaan bersama masyarakat menilai semula keberkesanan sistem sokongan sosial sedia ada berikutan peningkatan kes tragis yang melibatkan tekanan kewangan dan emosi dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata isu tekanan kewangan dihadapi rakyat bukan lagi rahsia, malah kadar hutang isi rumah yang tinggi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi petanda struktur sosial sedang berdepan tekanan serius.

“Apabila seorang ketua keluarga berasa berputus asa kerana tidak mampu menyediakan keperluan asas, kewarasan akal sering kali tewas kepada emosi yang gelap. Kita tidak boleh hanya menghantar (ucapan) takziah, kita perlu menghantar solusi yang konkrit," katanya.

Bagi menangani isu tersebut, beliau mencadangkan penubuhan Pusat Sokongan Krisis Kewangan yang bersepadu di setiap daerah untuk membantu individu terperangkap dalam kitaran hutang selain menekankan keperluan memperkukuh aspek kesihatan mental melalui penambahan bilangan pakar psikiatri dan kaunselor klinikal di hospital kerajaan.

“Jangan biarkan rakyat menunggu berbulan-bulan untuk rawatan mental sehingga mereka akhirnya memilih jalan keluar yang tragis," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan