AM

SAP Pantau Infrastruktur Bekalan Air Di Kawasan Banjir, Pastikan Tidak Terjejas

20/09/2024 11:40 AM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 19 Sept (Bernama) -- Syarikat Air Perlis (SAP) siap siaga memantau infrastruktur bekalan air di kawasan banjir bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas sepanjang bencana itu melanda Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif SAP Dr Mohmad Asari Daud berkata pihaknya akan memantau kemudahan air seperti rumah pam dan loji air setiap masa, terutama kawasan dilanda banjir seperti di Kangar dan Arau.

"Kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang gangguan bekalan air walaupun setakat ini belum ada kes yang melibatkan gangguan berkenaan. Banjir ini memerlukan perhatian terhadap kemudahan-kemudahan kami yang mungkin tidak beroperasi.

“Namun buat masa ini semuanya masih terkawal, biasanya apabila berlaku banjir, tanah runtuh boleh menyebabkan paip patah atau rosak, tetapi setakat sekarang keadaan masih di bawah kawalan," katanya kepada Bernama selepas majlis penghargaan SAP kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.

Majlis penghargaan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis Muhammad Azmir Azizan yang mewakili Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Setakat 2 petang ini, seramai 148 mangsa banjir di Perlis ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, SK Dato Ahmad Musa dan SK Kubang Gajah bagi kawasan Arau manakala SK Sena di Kangar.

Dalam pada itu, Mohmad Asari berkata pihaknya mengharapkan dalam pembentangan Bajet 2025 nanti turut memberikan keutamaan kepada Perlis khususnya dalam membantu negeri itu menangani masalah Air Tidak Terhasil (NRW) disebabkan kebocoran paip di kebanyakan kawasan di Perlis. 

"Kami berharap kerajaan akan memberi perhatian dalam belanjawan akan datang untuk membantu kami mengatasi isu kehilangan hasil air di Perlis yang merupakan salah satu cabaran utama di negeri ini," katanya.

Sementara itu, pengarah program majlis penghargaan itu Noorhelmee Abd Hamid berkata seramai 387 ahli MPKK akan memainkan peranan sebagai pemberi maklumat mengenai kebocoran paip atau masalah bekalan air kepada SAP sekiranya berlaku di sekitar Perlis untuk memastikan tindakan segera boleh diambil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan