AM

Bekalan Makanan Di Kawasan Banjir Mencukupi - Armizan

20/09/2024 12:07 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan jaminan bekalan makanan di kawasan terjejas banjir mencukupi.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemborong utama (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah dibenarkan menambah kuantiti had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had sedia ada sepanjang tempoh bencana.

“Kita di peringkat KPDN ini tanggungjawab utama kita apabila berlaku banjir memastikan bekalan keperluan mencukupi. Jadi prosedur operasi standard (SOP) telah ada, kita sudah lantik di sesuatu kawasan DDR dan DDW yang dikenal pasti lebih awal.

“Apabila berlakunya banjir kita aktifkan pendekatan itu untuk memastikan rakyat tidak terputus bekalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 di pekarangan Surau Al-Iman Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Armizan berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua KPDN di peringkat negeri dan cawangan untuk sentiasa peka dengan cuaca semasa serta bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat negeri dan daerah. 

Dalam pada itu, selain membuat persiapan lebih awal, kementerian juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi penyaluran maklumat.

Setakat pagi ini, sebanyak empat negeri terkesan dengan banjir iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Selangor dengan Kedah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 6,087 orang yang berlindung di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan