AM

AIGE Bukan Keperluan Undang-undang - Chang

20/09/2024 05:00 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) yang dilancarkan hari ini merupakan garis panduan awal untuk industri dan penggiat kecerdasan buatan (AI) dan bukanlah satu keperluan undang-undang, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian berharap sebahagian daripada garis panduan itu akan dikuatkuasakan sebagai undang-undang namun perkara itu mengambil masa.

“Sebelum undang-undang baharu diperkenalkan, kami mahu garis panduan ini berfungsi sebagai rujukan untuk industri dan penggiat AI. Mereka patut melihatnya sebagai satu disiplin yang perlu mereka ikuti,” katanya kepada media pada majlis pelancaran AIGE di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melancarkan AIGE dan majlis turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Ditanya mengapa kerajaan masih belum menguatkuasakan undang-undang itu, Chang berkata undang-undang sedia ada mencukupi untuk membendung aktiviti berkaitan, namun beliau mengakui kepesatan kemajuan AI membawa kepada keperluan untuk satu rujukan bersama.

“Hala tuju seterusnya dalam peta hala tuju AI dan peta hala tuju blok rantai adalah kita akan teruskan penglibatan dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang lain termasuk Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan bagi memastikan garis panduan itu kekal relevan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Fadillah untuk menjadikan AI sebahagian daripada kurikulum pembelajaran di peringkat pendidikan awal.

Chang turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan pejabat AI pada November ini untuk meneruskan inisiatif AI. 

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata pendidikan awal etika dalam teknologi khususnya berkaitan AI harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum pembelajaran.

Beliau berkata perkara itu penting supaya golongan muda terutama murid sekolah dididik untuk bertanggungjawab ketika menggunakan teknologi.

Sementara itu, Gobind berkata garis panduan AIGE selari dengan inisiatif ASEAN dalam menghasilkan panduan tadbir urus dan etika AI untuk menggalakkan penyelarasan kerangka AI dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

“Perkembangan baharu ini sudah tentu akan membantu Malaysia memainkan peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.

Beliau berkata garis panduan urus tadbir dan etika AI dapat mengukuhkan undang-undang sedia ada seperti Akta Keselamatan Siber 2024 yang mula berkuat kuasa 26 Ogos lepas dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang dipinda baru-baru ini.

Pada hujung tahun ini juga, Kementerian Digital akan membentangkan draf RUU Perkongsian Data bertujuan untuk menyelia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan