AM

AIGE Bukti Komitmen Kerajaan Wujud Ekosistem Teknologi Selamat, Beretika - TPM Fadillah

20/09/2024 12:43 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) yang dilancarkan hari ini sebagai satu kerangka kerja jelas untuk pengguna, penggubal polisi, dan penyedia teknologi AI agar setiap langkah diambil selaras dengan prinsip etika yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata AIGE lambang komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem teknologi yang selamat, beretika, dan berorientasikan kemaslahatan umum.

“Garis panduan ini bukan sahaja bertujuan menyediakan kerangka kerja bagi pengguna, penggubal polisi dan penyedia teknologi AI tetapi juga memastikan setiap langkah diambil selaras dengan prinsip-prinsip etika yang tinggi.

“Ini termasuklah aspek keselamatan, privasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang kesemuanya perlu diutamakan dalam penggunaan teknologi ini,” katanya pada majlis pelancaran AIGE di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pembangunan garis panduan ini selari dengan Rukun Negara yang menekankan aspek perpaduan melalui lima prinsip terasnya.

“Satu daripada aspek penting yang diketengahkan dalam Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI ini adalah kepentingan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap peringkat pembangunan dan penggunaan AI.

“Ini sebagai bukti komitmen pihak kerajaan untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap teknologi ini. Kita juga perlu memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh sistem AI adalah berasaskan data yang tepat dan bebas daripada sebarang bentuk bias yang boleh menjejaskan keadilan dan kesaksamaan,” katanya.

Beliau berkata garis panduan ini juga menekankan kepentingan untuk melindungi privasi dan data peribadi pengguna. 

Di era yang menyaksikan data komoditi yang amat bernilai, setiap orang perlu memastikan bahawa hak privasi individu sentiasa dihormati dan dilindungi, ini termasuk dalam aspek bagaimana data dikumpul, disimpan dan digunakan oleh sistem AI.

“Kita juga perlu peka terhadap implikasi sosial dan ekonomi yang mungkin timbul akibat perkembangan pesat teknologi AI.

“Walaupun AI mampu menjana peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan produktiviti, kita juga perlu berwaspada terhadap kemungkinan ia menggantikan tenaga kerja manusia dalam sesetengah sektor,” katanya.

Fadillah berkata perancangan yang rapi perlu dilakukan untuk memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan