POLITIK

Anwar Cabar Pembangkang Bawa Usul Tidak Percaya PM

21/09/2024 12:43 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.

Presiden PKR itu berkata pembangkang harus mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen atau bersorak untuk menggesanya "turun" daripada jawatan itu.

"Ada 30 orang suruh Anwar turun (daripada jawatan Perdana Menteri) … dia ingat negara ini tiada peraturan, tak ikut hukum, tiada sistem (Parlimen)?

"Kalau nak suruh turun, sila bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini … kalau usul itu lambat sekalipun, saya luluskan,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di sini malam ini.

Perhimpunan yang bertemakan "Dari Reformasi ke Malaysia MADANI" di Axiata Arena, Bukit Jalil itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil serta hampir 10,000 hadirin.

Perdana Menteri berkata tindakan pemimpin pembangkang turut dilihat cuba untuk mempengaruhi penyokong dengan sentimen menolaknya sebagai Perdana Menteri secara semberono.

“Tak payah jerit-jerit dekat program-program (pembangkang) dia, tengok penyokong dia pun ikut ‘turun-turun Anwar’ … kamu itu turun dulu, banjir pun tak turun (bantu rakyat).

“Kita ini bukan sebarang orang, kita ini panglima reformasi,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak sikap pembangkang yang tidak mencerminkan perjuangan Islam kerana gemar menabur fitnah, melontar kata-kata kesat dan makian kepada seteru politik.

Beliau berkata pembangkang juga tidak henti-henti menggunakan naratif yang menentang usaha dan kejayaan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya.

“Apa lagi yang tidak kena, dalam ceramah mereka semua tidak kena, mereka kata ekonomi kita hancur … kamu tidak baca surat khabar kah?

“Ringgit kita padahal sedang mengukuh … nak cakap pasal ekonomi, ambil tahu pasal ekonomi … ini jahil, tetapi bersyarah pasal ekonomi dan tipu orang,” kata beliau.

Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat yang dianjurkan PKR dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memperingati detik bermulanya gerakan reformasi iaitu pada 20 Sept 1998.

Sementara itu, Anwar turut menyelar sikap pembangkang yang sering mengulangi statusnya sebagai bekas banduan, modal untuk mengkritik pentadbirannya.

“Pembangkang tidak ada modal, paling tidak pun (bangkit isu) bekas banduan jadi Perdana Menteri. Ya, saya memang bekas banduan, tetapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji,” kata Anwar.

Anwar berkata generasi pembangkang ketika ini seolah-olah tidak berwibawa dengan hanya melontarkan fitnah dan makian semata-mata sedangkan semasa beliau menjadi mangsa kezaliman ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, terdapat nama-nama besar pejuang PAS dan agamawan yang membela nasibnya.

Beliau berkata antara pejuang besar ialah bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan bekas Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur Ustaz Datuk Taib Azamudden Mohd Taib yang mempertahankan dirinya.

“Dulu pemimpin-pemimpin PAS antara benteng pertama pertahankan kami dan menolak fitnah. Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah, yang jadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada pencuri harta, sekarang mahu jadi jaguh,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan selama dua tahun beliau mengemudi pentadbiran kerajaan Persekutuan, beliau tidak membenarkan mana-mana tender diambil oleh pemimpin negara.

Beliau berkata perkara itu berbeza jika dibandingkan dengan keadaan ketika pembangkang menerajui kerajaan selama hampir dua tahun.

“Sebut apa yang tidak diambil, Bestari Net, Jana Wibawa, kontrak tebatan banjir.

“Lama saya diam … malam ini saya bukan bercakap sebagai Perdana Menteri, tetapi sebagai Anwar Ibrahim, pejuang reformasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan