JENAYAH & MAHKAMAH

Johor Siasat Aktiviti, Pergerakan GISBH - Exco

21/09/2024 12:36 PM

JOHOR BAHRU, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) menjalankan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri memandang berat terhadap pelbagai dakwaan mengaitkan GISBH ketika ini.

"Bagi memelihara kemuliaan dan kesucian agama Islam serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat, MAINJ selaku pihak berkuasa agama negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan dan akan terus mengambil tindakan termasuk meneruskan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan GISBH di Johor. 

"Kerajaan negeri Johor menyeru agar semua pihak termasuk ahli-ahli GISBH dan orang ramai di luar sana agar tampil membuat aduan serta memberikan keterangan sekiranya mempunyai maklumat yang relevan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Fared berkata MAINJ tegas akan menggunakan perundangan dan enakmen sedia ada bagi mengekalkan keamanan beragama serta memastikan pematuhan undang-undang terus dikuatkuasakan.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya batiniah. 

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilapor berkata ia juga kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

 -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan