EKONOMI

Pasaran Kewangan Domestik Kekal Berdaya Tahan Dalam Persekitaran Tidak Menentu Global - BNM

03/10/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur sepanjang tempoh tidak menentu yang ketara dalam pasaran kewangan global pada suku kedua dan ketiga tahun 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata jangkaan pelabur yang berubah berhubung dengan keputusan dasar monetari bank-bank pusat utama menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran kewangan, manakala ringgit terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran.

"Sejak awal 2024, ringgit telah menambah nilai sebanyak 11.4 peratus berbanding dolar AS setakat 30 Sept 2024.

"Prospek ekonomi yang positif dan pembaharuan struktur dalam negeri, dilengkapi dengan inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran pertukaran asing, akan terus menyokong ringgit," kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2024 (TKK ST1 2024) hari ini.

Bank pusat itu berkata daya tahan perniagaan dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua tahun 2024 sejajar dengan unjuran kegiatan ekonomi yang terus berkembang, sementara kos input dijangka berkurang berikutan harga komoditi yang lebih rendah dan ringgit yang menambah nilai.

Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew berkata BNM terus menaikkan standard yang dikehendaki daripada institusi kewangan sebagai tindak balas kepada ancaman baharu muncul, bagi mengurus risiko yang timbul daripada penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

"Penampan kukuh yang dikekalkan oleh bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful akan terus memelihara daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian luar jangka," katanya.

Setakat akhir bulan Jun 2024, nisbah jumlah modal agregat sistem perbankan berada pada 18.4 peratus,  dengan penampan modal sebanyak RM136.1 bilion melebihi jumlah minimum pengawalseliaan.

"Sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan, dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 227 peratus dan lebihan penampan modal sebanyak RM37.4 bilion. Kedudukan ini akan membolehkan bank-bank untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah serta perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang," kata BNM.

Bank pusat itu juga berkongsi bahawa daya tahan isi rumah terus disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan.

Nisbah hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara amnya kekal tidak berubah pada 83.8 peratus berikutan hutang isi rumah berkembang sejajar dengan kadar kegiatan ekonomi, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan