AM

Penggunaan MyDigital ID Bukan Dibatal Tapi Ditangguh - CEO

04/10/2024 01:00 AM

KUALA LUMPUR, 3 Okt 2024  (Bernama) -- Integrasi penggunaan MyDigital ID dengan aplikasi MyJPJ bukan dibatalkan sebaliknya ditangguhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd Mohd Mirza Mohd Noor berkata beberapa laporan media telah salah memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengenai penggunaannya sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan orang awam.

Beliau berkata langkah itu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai pembatalan sebaliknya sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk memastikan kejayaan ciri log tunggal dan meningkatkan pengalaman pengguna.

“Menteri hanya umumkan penangguhan pelaksanaan ciri log tunggal yang membolehkan pengguna log masuk dengan satu akaun sahaja. Sepanjang tempoh penangguhan ini, pengguna masih boleh memilih untuk menggunakan log masuk MyJPJ sedia ada atau MyDigital ID untuk mengakses aplikasi tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lepas, Loke mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Okt ini.

Mohd Mirza juga berkata pihaknya mengambil maklum beberapa laporan pengguna yang berdepan kesukaran mengakses aplikasi MyJPJ dengan MyDigital ID baharu mereka namun jumlah mereka tidak ramai berbanding lebih 150,000 pengguna yang berjaya mendaftar ke dalam sistem itu.

“Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program MyDigital ID atau perkara berkaitan, orang ramai digalakkan untuk menghubungi MyDigital ID Sdn Bhd, entiti yang bertanggungjawab mengawasi pelaksanaan ID digital dan maklumat projek berkaitan,” katanya.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan