JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Saman Fitnah Selesai, Syed Saddiq Mohon Maaf Kepada Habibul Rahman

03/10/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kes saman fitnah oleh Habibul Rahman Kadir Shah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai apabila Ahli Parlimen Muar itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syed Saddiq, 31, ketika membacakan pernyataan maaf di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani berkata beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Habibul Rahman, 68, selaku plaintif kerana membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif semasa sidang media di Seri Pacific Hotel pada 2 Okt 2017.

"Pada sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga saya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dan saya menegaskan bahawa ancaman tersebut benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga saya. 

"Namun, saya kemudiannya menerima maklumat lanjut, dan kini menyedari bahawa semasa membuat kenyataan-kenyataan fitnah itu, saya telah disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh tersebut adalah disebabkan oleh Habibul Rahman," katanya.

Syed Saddiq selaku defendan berkata beliau kesal dan memohon maaf atas kenyataan-kenyataan fitnahnya yang telah menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada plaintif.

"Saya mengakui bahawa kenyataan saya mencemarkan reputasi beliau dan merosakkan imej terhormat seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri keenam (Najib), memegang pelbagai jawatan pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan, pengasas HKS Consultants Sdn Bhd, seorang pakar strategi korporat dan juga pensyarah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa kenyataan fitnahnya mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat mengelirukan yang disampaikan kepadanya tetapi kini beliau tahu maklumat tersebut adalah palsu dan tidak benar.

"Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul Rahman, dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Habibul Rahman.

"Saya aku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa-apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul Rahman," kata Syed Saddiq ketika membaca pernyataan maaf di hadapan Habibul Rahman dalam kandang saksi.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu berdasarkan permohonan maaf defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan esok. Mahkamah sebelum ini menetapkan empat hari bermula Selasa lepas (1 Okt) untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Habibul Rahman memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak terlibat telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman secara baik dan defendan akan membuat permohonan maaf kepada plaintif di mahkamah terbuka.

Perkara itu disahkan oleh peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq.

Pada 16 Nov 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah plaintif pada satu sidang media yang dihadiri oleh pengamal media daripada pelbagai organisasi berita.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau merancang, mengugut dan menyerang secara peribadi pemimpin pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) kepada parti berkenaan.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Habibul Rahman berkata beliau berterima kasih kepada peguamnya kerana mengendalikan kes itu dengan baik, dan akhirnya kebenaran dapat dibuktikan manakala Syed Saddiq pula mengucapkan terima kasih kepada plaintif kerana menerima permohonan maafnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan