AM

Keluarga Sabari Buat Solat Jenazah Ghaib

03/10/2024 05:36 PM

JITRA, 3 Okt (Bernama) -- Keluarga pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, akan mengadakan solat jenazah ghaib susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Padang Terap dekat sini dihentikan pada petang Rabu.

Isterinya Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata pihak keluarga akan menguruskan perkara itu sejurus beliau tiba di Kuala Lumpur nanti.

"Pihak Felcra, biro agama, surau dan masjid tempat arwah tinggal pun dah mula buat solat jenazah ghaib. Keluarga kami reda SAR dihentikan. Tapi jika orang-orang kampung masih nak berusaha teruskanlah (pencarian)," katanya kepada pemberita selepas melawat Jambatan Sungai Empa dekat sini bersama ahli keluarganya.

Subhiah Roslina yang juga petugas Felcra mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR  dan bersyukur kerana berpeluang mengikuti operasi itu sehingga tamat semalam.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya  ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis pada Isnin mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat dan dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun ditahan Jumaat lepas bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan