AM

JS-SEZ: Johor Rangka Strategi Tangani Peningkatan Kos Sara Hidup

03/10/2024 02:10 PM

ISKANDAR PUTERI, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri telah merancang beberapa strategi bagi menangani peningkatan kos sara hidup khususnya melibatkan nilai hartanah yang dijangka meningkat di Johor Bahru susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata itu merupakan antara cabaran utama yang dikenal pasti dan perlu diatasi kerajaan negeri dan pusat dalam memastikan pelaksanaan JS-SEZ dapat memberi manfaat kepada semua golongan.

“JS-SEZ dijangka membawa peningkatan dalam nilai hartanah serta kos sara hidup di kawasan sekitarnya. Ini memberi cabaran kepada rakyat tempatan, terutamanya bagi golongan B40 dan M40 yang mungkin berhadapan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi yang pesat.

“Bagi menangani isu itu, kita telah merangka dasar bertujuan meningkatkan kuantiti projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor terutamanya di kawasan JS-SEZ,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Fauziah Misri (BN-Penawar) mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran JS-SEZ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata antara cabaran lain adalah persaingan tenaga kerja mahir dan risiko berlaku ketidakseimbangan pembangunan, infrastruktur dan ekonomi antara daerah-daerah di negeri ini.

“Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk membangunkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) selain memperkasa usahawan tempatan supaya mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Tumpuan pembangunan yang intensif di kawasan JS-SEZ juga berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan di kawasan luar bandar atau yang tidak termasuk dalam zon ekonomi ini. Namun, Johor beriltizam memastikan pembangunan yang berlaku di JS-SEZ akan diluaskan ke daerah lain demi memastikan pembangunan seimbang dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan