AM

Pasukan Petugas Khas CPI Tubuh Kumpulan Fokus

03/10/2024 09:10 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang bermesyuarat kali pertama hari ini bersetuju menubuhkan kumpulan fokus bagi melaksanakan tindakan penambahbaikan CPI di negara ini. 

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumpulan fokus itu diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Turut serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Komunikasi. 

“Objektif kumpulan fokus yang dianggotai agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.

“Ia kemudiannya akan melaporkan (mengenai pelaksanaan tindakan) kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM selaku urus setia Pasukan Petugas Khas CPI,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, hasil dapatan Pasukan Petugas Khas akan dilaporkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPRM memaklumkan mesyuarat hari ini juga membincangkan enam bidang yang perlu diberikan keutamaan iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik. 

Pasukan Petugas Khas CPI ditubuhkan untuk mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.

Ia selaras penetapan sasaran kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun sepertimana termaktub dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12.  

Perkara berkenaan juga selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi Pertama: Penghayatan Nilai dan Tatakelola dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan tujuh sasaran utama Ekonomi MADANI.

Pasukan itu dianggotai ketua-ketua setiausaha kementerian berkaitan serta barisan pakar yang terdiri daripada Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Wong Chun Wai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan