AM

KTMB Terima Anugerah "Excellence Railway Tourism Experience"

03/10/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerima pengiktirafan Anugerah Khas Panel bagi kategori Excellence Railway Tourism Experience sempena Anugerah Perak Tourism 2024 semalam.

Pengiktirafan itu disampaikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee kepada Ketua Kawalan Operasi KTMB Afzar Zakariya pada satu majlis di Ipoh, Perak.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan berkenaan mencerminkan pencapaian cemerlang KTMB dan sumbangan besar kepada industri pelancongan di negeri itu dalam sektor pengangkutan.

“Majlis anugerah anjuran Tourism Perak ini bagi menghargai penggiat industri pelancongan yang bersama-sama bertungkus lumus dalam mempromosikan pelancongan serta memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2024. 

"Sebanyak 46 anugerah terdiri daripada 10 kategori disampaikan kepada pemain industri,” menurut kenyataan itu.

Anugerah itu membuktikan komitmen berterusan KTMB dalam menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Perak sebagai satu daripada destinasi pelancongan yang boleh dilawati dengan menaiki tren.

“Perkhidmatan ETS (perkhidmatan tren elektrik) yang sentiasa menjadi pilihan penumpang dan statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus jumlah penumpang dari 2022 hingga 2023 bagi semua stesen di Perak.

“Terdapat 13 stesen KTMB yang terdapat di Perak secara keseluruhan. Secara purata, perkhidmatan ETS telah membawa seramai 815,277 penumpang bagi semua stesen di Perak setakat Ogos tahun ini,” menurut kenyataan itu.

KTMB memperkenalkan produk terbaharunya pada 7 Sept yang dikenali sebagai "Railway to See Malaysia (RTSM) Excursion Train (edisi Promising Perak)" dalam mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 yang menyasarkan lebih ramai pelancong domestik, Asia dan atarabangsa menggunakan perkhidmatan tren KTMB.

“Tren ini melibatkan laluan dari KL Sentral hingga Taiping pada setiap awal minggu (Sabtu dan Ahad) untuk setiap bulan dengan menaiki tren konvensional menggunakan lokomotif diesel yang kini tidak lagi digunakan di laluan utara.

“Perkhidmatan ETS juga akan memperluas rangkaian kereta api ke Segamat di Johor pada tahun ini. Ini  kali pertama ETS meluaskan jangkauannya di negeri Johor dan secara signifikan dapat meningkatkan ekonomi tempatan terutama industri pelancongan di daerah itu,” menurut kenyataan itu.

KTMB menjangkakan dengan pengembangan ini akan meningkatkan permintaan terhadap ETS yang semakin mendapat perhatian dari komuniti selatan untuk perjalanan ke sektor utara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan