AM

Lelaki Terjatuh Di Lereng Gunung Machinchang Disahkan Maut

03/10/2024 10:11 PM

ALOR SETAR, 3 Okt (Bernama) -- Lelaki yang terjatuh di lereng gunung dari dek kaca Eagle's Nest Skywalk (ENS) Gunung Machinchang, Langkawi, dipercayai ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan, disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata Khairul Nizam Jaffar, 41, yang merupakan juruteknik mula bekerja di syarikat dek kaca itu tiga bulan lepas.

"Polis menerima maklumat daripada penyelia operasi dek kaca berkenaan pada pukul 12.25 tengah hari. Sepasukan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Mangsa bukan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di kereta kabel tetapi di dek kaca berkenaan…mangsa dipercayai terjatuh dari besi penahan dek kaca yang berada di bahagian bawah, kira-kira 40 meter ke tebing gunung," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi dilakukan dalam keadaan hujan dan mangsa telah berjaya dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba pada 5.11 petang.

"Pemeriksaan dan pengesahan kematian telah dilakukan oleh pihak hospital. Mayat mangsa telah dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat.

"Waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Terdahulu, Ketua Zon 4 Langkawi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani memaklumkan pihaknya melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang terjatuh ketika melakukan kerja penyelenggaraan.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan