AM

Arahan NADMA No.1 Jadi Panduan Utama Pengurusan Bencana - Ahmad Zahid

03/10/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi arahan tersebut, kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.

“Saya juga menekankan bahawa persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut ini tidak hanya mengenai kesiapsiagaan semasa, tetapi juga melibatkan langkah-langkah berterusan untuk memantau kawasan hotspot banjir, memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, serta menyelaraskan bantuan untuk semua yang terjejas oleh bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook yang mengulas mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikannya di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Menurut Ahmad Zahid seluruh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah juga telah diarahkan untuk mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu bagi memastikan kesiapsiagaan penduduk dan pihak berkuasa setempat berada pada tahap optimum.

“Koordinasi awal antara agensi kerajaan, Majlis Daerah, badan sukarela serta komuniti setempat amat penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana. Orang ramai juga diingatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui portal bencana rasmi di www.portalbencana.nadma.gov.my.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan