AM

Platform Shopee Bantu Tingkatkan Penawaran Perkhidmatan Beli-belah, Penghantaran PMKS

03/10/2024 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee, komited membantu peniaga tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk kekal berdaya saing dan cekap dalam landskap e-dagang yang kompetitif.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata bagi perniagaan kecil yang sedang berkembang, membina hubungan pelanggan yang kukuh ialah kunci kejayaan.

Menyedari kepentingan itu, beliau berkata Shopee telah membangunkan program dan ciri berfokus kepada pelanggan, yang memberi manfaat kepada penjual dan pembeli di platform itu.

“Dengan lebih ramai rakyat Malaysia menyokong jenama tempatan, kejayaan penjual kami mencerminkan bagaimana perusahaan kecil dan sederhana dapat memenuhi permintaan dan membina kepercayaan dalam pasaran hari ini.

“Walaupun alat dan program sokongan kami seperti Shopee Live, Shopee Video, Penghantaran Percuma, 15 Hari Pemulangan Percuma dan Jaminan Tepat Waktu telah menyumbang kepada pertumbuhan mereka, namun dedikasi mereka terhadap perkhidmatan pelanggan yang memacu kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengambil contoh PMKS seperti Magic Pocket dan ByReefa, dua perusahaan itu telah berjaya mengatasi cabaran dan mengambil peluang trend pasaran menerusi platform e-dagang berkenaan.

“Pendekatan strategik mereka telah mengubah halangan menjadi pencapaian besar, selaras dengan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia yang lebih percaya kepada penjual tempatan dalam memenuhi pesanan dan menjawab soalan.

“Dengan komitmen mereka dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan keupayaan mengikuti trend telah menetapkan penanda aras baharu dalam arena e-dagang yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.

Bagi Pengarah Magic Pocket Kelvin Lee Ka Sang, kerjasama dengan Shopee mengubah landskap perniagaannya menerusi sokongan dan ciri platform itu yang membolehkan pihaknya memenuhi pelbagai keperluan pelanggan serta berhubung dengan peminat aktiviti luar di seluruh Malaysia.

Menjalankan perniagaan menjual barangan aktiviti luar seperti peralatan perkhemahan, Lee berkata beliau menyedari pelanggan terutamanya dalam kalangan anak muda menghadapi cabaran besar untuk mendapatkan peralatan berkhemah dan ramai pelanggan berpotensi ragu-ragu untuk melabur dalam peralatan berkenaan kerana mereka masih baharu dalam aktiviti perkhemahan.

“Untuk menghadapi cabaran ini, kami fokus untuk mendidik pelanggan. Dengan memanfaatkan ciri sembang langsung Shopee Chat dan Shopee Live, saya dan pasukan yang berpengalaman dalam berkhemah memberi nasihat peribadi secara langsung. Penglibatan langsung ini menjawab kerisauan pelanggan tentang kualiti dan kesesuaian produk.

“Penyertaan Magic Pocket dalam program ‘15 Hari Pemulangan Percuma’ juga ialah satu lagi langkah strategik untuk mengurangkan kebimbangan pembeli,” katanya dan menambah prestasi perniagaannya dari Januari hingga Julai lepas telah melonjak sebanyak 226 peratus.

Sementara itu, Pengurus Besar ByReefa, Nazira Nasri berkata Shopee membuka pasaran yang luas kepada jenama fesyen Muslimah yang melambangkan kebanggaan Perlis itu dengan mendedahkan kepada jutaan pelanggan berpotensi di seluruh negara dan luar negara.

“Pangkalan pengguna yang besar dan ciri-ciri yang berpusatkan pelanggan di platform ini membolehkan kami mencapai pembeli yang tidak pernah kami capai melalui saluran lain,” katanya.

Beliau berkata program "15 Hari Pemulangan Percuma" Shopee merupakan ciri transformasi buat jenama itu apabila melihat lonjakan pesanan daripada pelanggan baharu.

“Dasar pemulangan Shopee memberikan mereka kebebasan untuk mencuba produk kami tanpa sebarang keraguan dan perkara itu ialah titik perubahan besar bagi kami,” katanya dan menambah ByReefa turut memanfaatkan program "Jaminan Tepat Waktu" Shopee bagi memastikan penghantaran dilakukan tepat pada waktu dan boleh dipercayai.

Selain itu, Nazira berkata ByReefa turut menyertai Penyelesaian Pemasaran Affiliate Shopee (AMS) dan Shopee Ads untuk meningkatkan keterlihatan jenama mereka serta mencapai pertumbuhan jualan yang mengagumkan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan