SUKAN

ACL2: Selangor Raih Kemenangan Pertama Di Pentas Asia Selepas Lapan Tahun

03/10/2024 10:43 PM

PETALING JAYA, 3 Okt (Bernama) --  Selangor mencipta kejayaan pertama di pentas kejohanan Asia selepas lapan tahun apabila skuad Gergasi Merah itu menewaskan kelab Filipina Dynamic Herb Cebu FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam ini.

Kemenangan tipis itu membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil mengutip tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL) 2024/25 selepas seri 1-1 menentang Muangthong United dari Thailand pada aksi sulung di Bangkok, bulan lepas.

Selangor yang kali terakhir beraksi di pentas Asia pada 2016, bermula garang apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas pemain tengah import Yohandry Orozco menyempurnakan hantaran lintang Ronnie Allan Fernandez sekali gus menewaskan Florencio Badelic Jr. di gawang.

Pasukan tuan rumah terus mendominasi permainan sambil mencipta lambakan peluang jaringan untuk menambah sekurang-kurangnya empat lagi gol di separuh masa pertama namun disia-siakan oleh penyudah yang tumpul, selain dinafikan kecekapan Badelic Jr. 

Bersambung babak kedua, anak buah Nidzam yang kekal menguasai permainan terus buntu dalam usaha menambah jaringan biarpun beberapa pemain gantian dibawa masuk antaranya pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim bagi menggantikan Alvin Fortes.

Pasukan pelawat hampir meleburkan impian Selangor mengutip tiga mata penuh di penghujung perlawanan selepas percubaan penyerang gantian Rintaro Hama dari jarak dekat sedikit tersasar sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil Nasrullo Kabirov dari Tajikistan.

Dalam pada itu, satu lagi aksi Kumpulan H menyaksikan Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Muangthong United 4-1 di Jeonbuk.

Selepas dua perlawanan, Selangor kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul empat mata, dua mata di belakang Jeonbuk Hyundai Motors sementara Muangthong United ketiga (satu mata) dan Dynamic Herb Cebu tercorot tanpa sebarang mata.

Seterusnya skuad Gergasi Merah itu akan membuat perhitungan dengan Jeonbuk Hyundai Motors pada perlawanan ketiga kumpulan di sini manakala Dynamic Herb Cebu akan menentang Muangthong United di Manila masing-masing pada 23 Okt depan.

Sebagai rekod, kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah bagi perlawanan kejohanan Asia ialah ketika seri tanpa jaringan menentang kelab Filipina, Ceres pada aksi kumpulan Piala AFC 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan