AM

Peralihan Lesen Kelas B: Pemegang LMM Yang Layak Boleh Mula Daftar Di 139 Institut Memandu

04/10/2024 05:19 PM

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 yang layak menyertai Program Khas Peralihan LMM kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) boleh mula mendaftar ke program itu di 139 institut memandu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata data terkini setakat semalam merekodkan sebanyak 3.33 juta daripada 9.32 juta pemegang LMM kelas B1 dan B2 layak mendaftar ke program itu.

“Senarai institut memandu yang menawarkan program ini boleh didapati dengan mengimbas kod QR yang tertera di laman Facebook rasmi JPJ. Untuk makluman, senarai institut memandu ini juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Antara institut memandu berkenaan adalah Metro Driving Academy Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor; Ilmu Baru Sdn Bhd di Alor Setar, Kedah; Pusat Latihan Memandu Gabungan Usahamaju Sdn Bhd di Seberang Perai, Pulau Pinang; Institut Memandu Litar Sistem Adilkap Sdn Bhd di Ipoh, Perak; Sipitang Sdn Bhd di Sipitang, Sabah dan Akademi Memandu EG Sdn Bhd di Miri, Sarawak.

Terdahulu, dalam sidang media Operasi Khas Kenderaan di Kajang, Aedy Fadly menasihati orang ramai agar menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak terlebih dahulu bagi melayakkan menyertai program itu meskipun kelonggaran syarat diberikan untuk memohon program peralihan berkenaan. 

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan program khas peralihan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula 1 Okt 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan