AM

Dilarang Merokok Di Dobi, Tempat Kerja Bermula 1 Jan 2025

04/10/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi lokasi baharu tersenarai dalam kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Jan tahun depan, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Okt lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia menjadikan sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhan diwartakan di bawah Akta 852 itu.

"Pastinya saya bersyukur akhirnya dobi (yang diperjuangkan sejak 2019) menjadi tempat awam (larangan merokok) kerana ia sering didatangi para ibu, isteri yang membawa anak mereka," katanya pada sesi taklimat media berhubung Akta 852 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit Dr Noraryana Hassan.

Pada 1 Jan 2019, ketika menggalas jawatan Menteri Kesihatan buat kali pertama, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluas pewartaan kawasan larangan merokok kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.

Sementara itu, Dr Noraryana berkata tempoh masa secukupnya diberikan kepada pemilik premis berkenaan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan tahun depan.

“Kita nak beri peluang kepada mereka (pemilik dobi) untuk dapatkan segera tanda amaran larangan merokok untuk diletakkan di premis,” katanya.

Antara kawasan dilarang merokok lain yang diwartakan ialah kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin, bangunan hentian pengangkutan awam, kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan, kawasan premis kerajaan dan kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.

Turut tersenarai ialah pusat hiburan atau teater kecuali kasino, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, kafe Internet, stadium, pusat kecergasan atau gimnasium serta di dalam bas sekolah dan kenderaan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan