IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat permohonan peruntukan kecemasan untuk segera melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri yang dilanda banjir kilat, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah dalam kenyataan berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah melakukan penilaian bagi kerja pembaikan berkenaan dan beberapa cadangan jangka panjang lain akan dibincangkan dalam mesyuarat khas berkaitan isu itu dalam dua minggu ini.
Beliau yang mengadakan lawatan ke sekolah itu Selasa lepas berkata semua agensi berkaitan telah turun padang meninjau kedudukan serta mengenal pasti kerja pembaikan atau penambahbaikan yang perlu dilakukan.
Tindakan segera katanya sudah diambil JPS selain penglibatan Jabatan Kerja Raya (JKR), PPD dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah bagi mengenal pasti punca berlakunya banjir di sekolah itu, termasuk perancangan beberapa pelan jangka pendek.
"Hasil tinjauan JPS mendapati sistem perparitan dalam sekolah itu tidak sempurna malah tidak diselenggarakan dengan baik, malah kedudukan sekolah yang dikelilingi ladang sawit mengakibatkan aliran air dari ladang mengalir masuk ke sekolah yang kedudukannya lebih rendah.
"Selain itu, struktur sistem perparitan sedia ada jenis parit tanah tidak mampu untuk menampung aliran air hujan yang banyak sehingga mengakibatkan aliran air dalaman sekolah tidak dapat keluar dengan sempurna ke Parit Buang," kata Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja.
Menurutnya kedudukan sekolah itu juga berhampiran terusan utama bagi Pengairan Seberang Perak yang akan berlaku kenaikan paras air ketika air disalurkan ke petak sawah.
Khairudin berkata sebelum ini JPS Perak Tengah telah memasang dua pagar (flap gate) masing-masing pada 7 Okt 2022 dan 25 Ogos 2023 di kawasan Parit Buang bagi mengurangkan impak banjir di kawasan sekolah.
"Tindakan segera juga telah diambil pada 9 Okt lepas apabila JPS telah memasang pam mudah alih untuk mengeluarkan air yang bertakung di kawasan sekolah dalam kejadian banjir kilat pada 5 Okt," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial