AM

IDECS 2024 Berakhir Dengan Inisiatif Pacu Masa Depan Mampan Sarawak

18/10/2024 05:45 PM

KUCHING, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersama-sama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) berjaya menganjurkan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.

Bertemakan "Kecerdasan Buatan (AI) untuk Pembangunan Lestari: Mengemudi Masa Depan Mampan dan Hijau", IDECS 2024 tamat semalam selepas berlangsung dua hari dengan perbincangan dan sesi dialog yang berkesan.

SDEC dalam kenyataan hari ini memaklumkan persidangan itu menarik lebih 2,500 peserta yang meneroka kesan transformasi AI dalam memacu pembangunan mampan.

"Persidangan ini menekankan peranan kritikal AI dalam memajukan teknologi hijau dan mempromosikan ekonomi kitaran, dengan pandangan daripada pemimpin global dan inovator menumpukan kepada memanfaatkan AI untuk kemampanan," menurut kenyataan itu.

Persidangan itu berakhir dengan majlis makan malam gala dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Dalam ucapan penghargaan, Julaihi mengiktiraf peranan IDECS dalam mewujudkan organisasi yang penting bagi pertumbuhan ekonomi Sarawak.

"Pada tahun-tahun sebelum ini, IDECS memainkan peranan utama dalam penubuhan institusi penting seperti Bank Pembangunan Sarawak, SMA dan SDEC. Institusi ini penting dalam memajukan inisiatif dan dasar yang memperkukuh strategi ekonomi digital dan kekal penting dalam membentuk masa depan Sarawak sebagai negeri yang diperkasakan secara digital," katanya.

Pada majlis makan malam gala penutup itu, Anugerah Ekonomi Digital (DEA) 2024 yang dianjurkan buat kali ketiga oleh SMA disampaikan kepada penerima lima kategori, masing-masing menerima hadiah RM10,000.

Selain itu, Anugerah Ekonomi Digital Premier bernilai RM20,000 dianugerahkan kepada pemenang terpilih daripada kategori berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan