JENAYAH & MAHKAMAH

Penemuan Dokumen Malaysia Di Ukraine: PDRM Tunggu Maklumat Lanjut Kedutaan Rusia

31/10/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghubungi Kedutaan Rusia di sini berkenaan dakwaan mengenai seorang warga tempatan yang terlibat sebagai askar upahan dalam konflik antara negara tersebut dan Ukraine.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan untuk berhubung dengan Kedutaan Rusia dijalankan oleh Cawangan Khas Bukit Aman.

"Kita masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak kedutaan untuk pengesahan, termasuk status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu (menjadi tentera upahan)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Razarudin berkata pihaknya juga telah berhubung dengan keluarga individu terlibat baru-baru ini dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, individu itu hanya belajar di luar negara.

“Tindakan sedang diambil oleh PDRM dan semua diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Orang ramai juga diingatkan agar tidak terlibat dengan mana-mana 'pejuang asing' atau konflik membabitkan negara lain,” katanya.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang beralamat di Perlis ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen tersebut ditemukan selepas tentera Rusia menawan kubu tentera lawan di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan