KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam jelas memaparkan komitmen berterusan kerajaan terhadap aspek tanggungjawab fiskal dan pertumbuhan seimbang.
Pada masa sama, ini dapat mengukuhkan daya tahan negara dalam menangani ketidaktentuan global, kata Khazanah Nasional Bhd.
Pengarah Urusannya Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata Khazanah dan barisan syarikat-syarikatnya, kekal seiring dengan matlamat Belanjawan 2025 serta sedia menyokong agenda strategi melonjakkan Malaysia.
Kumpulan itu akan terus memacu peruntukan modal strategik, memupuk modal insan berkaliber tinggi, memperkasa syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperjuang usaha kemampanan dan penyampaian inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang bermakna.
“Ini termasuk sepertimana diumumkan dalam belanjawan, komitmen RM1 bilion kami kepada National Fund-of-Funds (NFOF) bagi menyokong pertumbuhan dana modal teroka di Malaysia, komitmen RM1 bilion untuk mengukuhkan industri semokonduktor Malaysia seiring dengan inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan.
“Komitmen lain adalah RM1 bilion bagi mengembangkan lagi Syarikat Peringkat Pertengahan dan menyokong agenda kebudayaan dan warisan menerusi pemulihan tapak warisan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara," katanya dalam kenyataan.
Amirul Feisal berkata Khazanah akan melabur sejumlah RM200 juta dalam Program Pembangunan Belia K-Youth, mewujudkan peluang bagi 11,000 belia dalam sektor utama seperti semikonduktor dan mengiktiraf kepentingan pembangunan modal insan.
Khazanah juga kekal komited terhadap usaha memajukan pertumbuhan mampan selaras agenda kerajaan berkaitan kelestarian dan peralihan tenaga.
“Menerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan UEM Lestra Bhd, kami akan melabur dalam menaik taraf rangkaian pembekalan selain berusaha mempercepat penyahkarbonan taman perindustrian di Malaysia," katanya.
Beliau juga menyifatkan Belanjawan 2025 akan mengukuhkan lagi tumpuan kerajaan terhadap kemampanan fiskal, pertumbuhan inklusif dan dasar ekonomi transformatif serta mencapai keseimbangan yang tepat dalam meningkatkan daya tahan Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial