AM

RM30 Juta Bina Jambatan Kekal Ganti Jambatan Roboh Di Kampung Slim - Ahmad

19/10/2024 07:43 PM

TANJUNG MALIM, 19 Okt (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan Pejabat Menteri Besar telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membina jambatan kekal bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim di Kampung Slim, Slim River dekat sini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata nilai awal pembinaan jambatan kekal itu dianggar RM30 juta.

“Jadi, harapan kita ada kelulusan daripada NADMA... NADMA adalah di bawah TPM (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kita berharap di bawah peruntukan bencana akibat banjir, maka permohonan itu kita buat. 

“Ini adalah sesuatu yang luar biasa, di luar jangkaan dan kita berharap akan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan Bailey di Jalan Slim River-Behrang Hulu (A121) dekat sini hari ini. 

Beliau berkata dua lagi jambatan Bailey bakal dibina bagi menggantikan jambatan roboh di kawasan berkenaan, namun hanyalah jambatan kecil dan melibatkan satu lorong.

Sementara itu, Ahmad berkata setakat ini terdapat 24 jambatan Bailey dibina di seluruh negara sementara menunggu pembinaan jambatan kekal, berdasarkan statistik Kementerian Kerja Raya.

Pada 24 Ogos lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jambatan Bailey itu buat sementara waktu bagi menghubungkan pekan Slim Village ke Bandar Slim River serta Bandar Behrang.

Pembinaan jambatan itu susulan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air pada 23 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan