EKONOMI

Persidangan Pendigitalan PKS Tiktok Shop Sasar Bina Ekosistem Kukuh Pertumbuhan PKS

21/10/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Persidangan Pendigitalan PKS TikTok Shop, usaha kerjasama antara Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC) Selangor 2024 dan TikTok Shop menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem kukuh bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Persidangan anjuran bersama Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan TikTok Shop yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, mengukuhkan lagi komitmen Selangor untuk memajukan ekonomi digitalnya melalui inisiatif strategik dan perkongsian.

Hadir sama ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, Pengarah Kanan Strategi Perdagangan Global TikTok Shop Steven Li dan Pengurus Besar PayMate Asia Pasifik Amirreza Sawal.

“Persidangan ini menonjolkan kisah kejayaan PKS terkemuka yang telah memanfaatkan TikTok Shop untuk memesatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

“Antara penceramah yang ditampilkan adalah pempengaruh tempatan seperti Neelofa, Caryn Law dan Gary Ng, yang telah berjaya menggunakan TikTok Shop untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Menerusi perbincangan panel, pelancaran produk dan sesi interaktif, peserta diberikan pandangan yang jelas mengenai strategi pemasaran digital yang berkesan, pembinaan jenama dan sesi libat urus bersama-sama pengguna dalam pasaran yang berkembang pesat,” menurut Sidec dalam kenyataan. 

Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata kerjasama itu menekankan dedikasi kedua-dua pihak untuk memperkasa perniagaan kecil dengan meningkatkan kemahiran mereka menerusi strategi pertumbuhan inovatif bagi memanfaatkan lonjakan perniagaan pembeli-belah hibur dan perdagangan berasaskan kandungan di TikTok Shop.

“Kami berterima kasih dengan peluang ini dan berharap dapat meneruskan usaha kami dengan SIDEC untuk mengupayakan perniagaan tempatan secara digital, selepas melatih lebih 1,300 penjual di Selangor pada separuh pertama tahun ini,” katanya.

Inisiatif strategik seperti Selangor 1000 Digital dan Program Pemecut Selangor (SAP) terus memacu inovasi dan menggalakkan keusahawanan di rantau ini.

Program itu turut menandakan pelancaran aplikasi PayMate Business Payments, yang dihasilkan untuk mengoptimumkan modal kerja bagi PKS dengan menawarkan sehingga 55 hari kredit tanpa faedah bagi pembayaran perniagaan kepada perniagaan.

Semasa program itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi yang beribu pejabat di Selangor, BizApp yang mengkhusus dalam Sistem Pengurusan Pesanan, untuk melibatkan sebanyak 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjelang 2025 menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS).

Bagi maklumat lanjut mengenai SDEC 2024 dan program pada masa akan datang, layari laman web SIDEC di https://www.sidec.com.my/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan