KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- 10 pemenang dalam Program Pemecut Selangor (SAP 2024) akan bersama lebih 190 syarikat pemula niaga lain yang turut menyertai program itu sejak dilancarkan pada 2018.
SAP adalah inisiatif utama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
“Sebanyak 41 peratus peserta sebelum ini memperoleh pembiayaan dan kebanyakannya mendapat pendedahan antarabangsa menerusi perkongsian dan lawatan sambil belajar.
“SAP 2024 sudah bersedia untuk meneruskan legasinya membawa syarikat pemula niaga berpotensi tinggi ke pasaran global,” kata SIDEC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena dengan Hari Demo Terakhir diadakan semasa Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC) Selangor 2024 semalam.
10 pemenang SAP 2024, masing-masing menerima hadiah seperti bimbingan, pendedahan pelabur dan akses kepada peluang pengembangan antarabangsa antaranya Alphaswift, Baituljannah, Shieldbase, Vcred dan Homesifu di bawah ‘Vertical 1’: Kecerdasan Buatan (AI) Tertumpu pada Penyelesaian Perniagaan, Mobiliti, Robotik dan bidang berkaitan.
Untuk ‘Vertical 2’ pula ialah Bioteknologi, Penjagaan Kesihatan, Agritech, Net Zero dan Sains Hayat, pemenang ialah Green Advantex, Qarbotech, Atoz, Zoala dan Vidanex.
SIDEC berkata sejak tiga hingga empat bulan lepas, 20 finalis SAP 2024 telah menjalani latihan intensif melalui program berstruktur merangkumi bengkel komprehensif, sokongan mengumpul dana, lawatan industri dan peluang untuk jangkauan dan pengembangan antarabangsa.
"Hari Demo Terakhir menandakan kemuncak perjalanan mereka, mempamerkan penyelesaian inovatif mereka kepada panel pakar industri, pemodal teroka dan pemimpin daripada ekosistem teknologi," katanya.
SAP 2024, kini dalam edisi ketujuh, terus menjadi asas kepada strategi Selangor untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Kohort pemula niaga tahun ini telah membentangkan penyelesaian revolusioner kepada cabaran dunia sebenar daripada memanfaatkan AI untuk penjagaan kesihatan kepada membangunkan bahan mampan yang menyokong matlamat pelepasan sifar bersih.
Inovasi mereka mempunyai potensi untuk mengubah industri dan meningkatkan kualiti hidup di peringkat tempatan dan global.
Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping berkata SAP sekali lagi terbukti sebagai platform luar biasa untuk meneroka, memupuk dan mengembangkan bakat dan syarikat pemula niaga tempatan, seiring dengan permintaan semasa yang bergerak ke arah penyelesaian berasaskan AI dan bio.
"Kami sangat teruja untuk menyaksikan kejayaan syarikat pemula niaga ini dan sumbangan mereka ke arah visi Selangor untuk menjadi hab global bagi teknologi dan inovasi," katanya.
Sementara itu, Exco Perdagangan, Pelaburan dan Mobiliti negeri Selangor, Ng Sze Han berkata kerajaan Selangor kekal memberi sokongan kepada inovator dan usahawan.
“Melalui inisiatif seperti SAP, kami sedang membina asas kukuh untuk ekonomi digital, memupuk kerjasama antara syarikat pemulan niaga, pelabur dan pemimpin global untuk memastikan Selangor kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi,” tambahnya.
Hari Demo Akhir SAP 2024 merupakan salah satu acara kemuncak di SDEC 2024, konvensyen tahunan yang menghimpunkan pemimpin pemikiran global, pakar industri dan inovator untuk membincangkan masa depan transformasi digital.
SDEC 2024 memfokuskan pada inovasi semikonduktor, AI generatif, dan pendigitalan PKS, meletakkan dirinya sebagai acara utama dalam landskap ekonomi digital Malaysia.
Program Pemecut Selangor terus memupuk inovasi dan keusahawanan, kejayaan syarikat pemula niaga SAP 2024 menggariskan peranan penting kerjasama awam-swasta dalam memacu masa depan digital Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial