AM

Lebih 1.9 Juta Murid, Pelajar Lepasan Menengah Tebus Baucar Buku MADANI

22/10/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,915,110 murid dan pelajar lepasan menengah di seluruh negara telah membuat penebusan Baucar Buku MADANI, setakat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata daripada jumlah tersebut, 661,487 adalah murid Tahap Dua sekolah rendah, sementara 1,191,817 merupakan murid sekolah menengah dan 61,806 pelajar daripada kolej vokasional, pra-universiti, kolej matrikulasi, serta institut pendidikan guru.

“Jumlah nilai Baucar Buku MADANI yang telah pun ditebus oleh golongan ini sehingga 21 Okt adalah berjumlah RM157 juta. Penebusan ini, telah menghasilkan nilai pembelian keseluruhan sebanyak RM120.5 juta melibatkan 3.9 juta naskhah buku,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai status terkini pemberian baucar buku dan jumlah peruntukan yang telah disediakan.

Bagi memastikan pemberian baucar buku dapat mencapai sasaran 3,558,024 orang pada akhir tahun ini, Wong berkata Kementerian Pendidikan telah mengadakan sesi libat urus dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta guru perpustakaan dan media seluruh negara bagi membantu murid membuat penebusan baucar tersebut.

“Data penebusan di setiap negeri, daerah, dan sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan proses penebusan berjalan lancar dan dapat dioptimumkan.

“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia, malah dengan peruntukan yang besar ini, program Baucar Buku MADANI juga berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM50 dan RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan