AM

Projek Khalis Beri Peluang Murid Di Perak Teroka Bidang Animasi Kreatif

30/10/2024 05:01 PM

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Sebuah inisiatif sosial, Projek Khalis yang diterajui lima pelajar tingkatan dua dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah berjaya membuka peluang kepada murid-murid sekolah rendah di Perak untuk meneroka bidang animasi kreatif.

Penasihat Projek Khalis Prof Dr Suhaily Hasnan berkata melalui projek perintis mereka iaitu Program Pendedahan Awal Asas Penghasilan Animasi Kreatif, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar berpeluang mempelajari kemahiran baharu dalam penghasilan animasi menggunakan teknologi iPad.

Beliau berkata program yang dilancarkan pada 24 Ogos lepas itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknologi terkini tetapi turut mencabar minda murid untuk berfikir secara kreatif dan menghasilkan karya animasi mereka sendiri. 

Pensyarah dari Universiti Teknologi MARA itu berkata keunikan projek berkenaan terletak pada pendekatan langsung yang digunakan oleh pelajar MCKK itu dalam membimbing pelajar-pelajar SK Sultan Idris II. 

"Mereka bukan sekadar mengajar teknik animasi, tetapi juga memberi tunjuk ajar dalam penulisan skrip dan pembangunan cerita digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaily berkata pendekatan itu memberikan peluang kepada murid untuk memahami keseluruhan proses penghasilan animasi dari awal hingga akhir. 

Majlis penutup program yang berlangsung pada 21 Okt lepas di sekolah berkenaan menyaksikan hasil kerja keras murid darjah empat dan lima terbabit dipertontonkan kepada rakan serta guru yang membangkitkan keterujaan dalam kalangan penonton, menurut kenyataan itu.

Pengasas Bersama Projek Khalis Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin dalam kenyataan sama berkata projek berkenaan adalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif pendidikan yang akan dijalankan oleh pasukan mereka.

“Kami melihat potensi besar dalam program ini dan bercadang untuk memperluaskannya ke sekolah-sekolah lain di Perak dan seterusnya ke seluruh Malaysia. Ini adalah langkah pertama kami untuk memberi impak yang lebih besar kepada pendidikan komuniti,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan Projek Khalis menerima sokongan penuh daripada Yayasan Bank Rakyat dan Zikay Group Berhad yang menjadi penaja utama projek itu, sekali gus menunjukkan kepentingan kolaborasi pihak swasta dalam menggerakkan inisiatif pendidikan kreatif.

Projek Khalis diterajui oleh Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan sebagai Pengasas Bersama dengan sokongan penuh daripada Adam Imran Mohd Isman selaku Pengarah Operasi, Azfar Hafeez Mohd Azri sebagai Pengarah Kewangan dan Wan Muhammad Faqif Fitri Wan Mohamad Noh sebagai Pengarah Publisiti. 

Peranan teknikal pula dikendalikan oleh Faid Rifaie Deen Firoz Deen bersama Muhammad Naim Mohammad Taufik yang memastikan kelancaran aspek teknikal sepanjang sesi penghasilan animasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan