EKONOMI

Lawatan Anwar Dan Misi Penggalakan Pelaburan Jana Potensi Pelaburan Berjumlah RM82.6 Bilion - MITI

23/10/2024 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) --  Sebanyak sebelas Misi Penggalakan Pelaburan (TIM) termasuk enam lawatan rasmi yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh Januari sehingga September 2024 telah menghasilkan potensi pelaburan berjumlah RM82.6 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata daripada jumlah itu sebanyak RM30.9 bilion (37.41 peratus) nilai pelaburan telah diluluskan manakala RM26.8 bilion (32.45 peratus) dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini.

“Nilai pelaburan sebanyak RM30.4 bilion (36.80 peratus) pula dijangka dimuktamadkan dalam tahun 2025 hingga 2027,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu nilai dan status pelaburan asing ke dalam negara yang telah direalisasikan berbanding nilai pelaburan yang diumumkan dalam siri lawatan luar negara oleh Perdana Menteri sehingga kini.

Antara negara yang dilawati sepanjang tempoh itu termasuklah Jerman, Perancis, Itali, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Jepun, India, Singapura dan Thailand.

Menurut MITI, kementerian itu sentiasa melaksanakan pemantauan rapat serta perbincangan strategik bersama para pelabur memandangkan pelaburan besar memerlukan masa untuk direalisasikan dan mematuhi proses yang kompleks.

“Proses susulan ini adalah kritikal untuk memastikan setiap komitmen pelaburan yang dijanjikan dapat ditukar kepada pelaksanaan yang sebenar, dalam tempoh yang optimum,” katanya.

Pada 2023, MITI bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah melaksanakan 12 Misi Penggalakan Pelaburan termasuk lapan lawatan rasmi yang diketuai Anwar ke negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Itali, dan Singapura yang menghasilkan potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM32.8 bilion (9.28 peratus) nilai pelaburan telah diluluskan yang dijangka mewujudkan lebih daripada 6,400 peluang pekerjaan.

“Pelaburan sebanyak RM29 bilion (8.20 peratus) pula dijangka dimuktamadkan pada 2024, manakala RM289.4 bilion (81.84 peratus) disasar dimuktamadkan antara 2025 hingga 2027,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan