EKONOMI

Agro Snow Laksana Transformasi Industri Makanan Berasaskan Tumbuhan

05/11/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Syarikat komoditi pertanian global, Agrocorp International dan Megmilk Snow Brand menjalin kerjasama untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran protein mesra alam, Agro Snow, di Johor Bahru, Johor.

Projek usaha sama ini bertujuan mentransformasikan industri makanan berasaskan tumbuhan melalui amalan pengeluaran yang inovatif dan mampan.

 "Dengan memanfaatkan khasiat kekacang seperti lentil, kacang Arab dana beberapa lagi jenis kekacang, kemudahan ini (kilang) akan menghasilkan protein berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi dengan jejak karbon dan penggunaan air yang jauh lebih rendah berbanding sumber protein tradisional," kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDA berkata demikian dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena majlis pecah tanah untuk Agro Snow pada 4 Nov, 2024.

Kedua-dua syarikat tersebut menekankan kekacang yang dikenali dengan impak alam sekitar yang rendah dan mengandungi nutrisi yang tinggi itu, akan menjadi bahan utama di sebalik kelebihan dalam penggunaan kilang pengeluaran mesra alam ini.

Setelah beroperasi, kilang berkenaan akan menjadi pembekal utama protein mampan yang berpatutan kepada pengeluar makanan di seluruh Asia selain membantu memacu pertumbuhan dalam sektor makanan berasaskan tumbuhan dan memajukan peralihan rantau ini ke arah pilihan pemakanan yang lebih mampan.

Kilang ini dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 6,000 tan metrik pengasingan protein kekacang, dijadualkan siap pada suku pertama 2026 dan akan menggajikan sekitar 80 pekerja tempatan, sekali gus memupuk pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan.

"Usaha sama ini memberikan contoh yang kukuh tentang bagaimana kerjasama dan inovasi boleh memacu perubahan positif serta membuka jalan untuk sistem makanan yang lebih mampan," kata kedua-dua syarikat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kemudahan Agro Snow adalah selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 iaitu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam segmen protein alternatif sambil mengukuhkan reputasinya sebagai pusat bahan makanan premium.

Datuk Sikh Shamsul Ibrahim berkata tumpuan kemudahan ini adalah terhadap makanan berfungsi, trend kesedaran kesihatan dan pensijilan halal yang membuka peluang baharu di peringkat global.

Beliau berkata penggabungan teknologi canggih dan proses mampan adalah selaras dengan matlamat untuk pengeluaran yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.

"Pelaburan ini tepat mewakili apa yang kami bayangkan iaitu gabungan sempurna antara teknologi canggih, tanggungjawab alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, CEO Agrocorp International Vishal Vijay berkata beliau berharap latar belakang kedua-dua syarikat berkenaan serta kelebihan kompetitif yang diperoleh dengan berada di Johor akan membolehkan Agro Snow menjadi pembekal utama bahan berasaskan tumbuhan di rantau ini.

Sementara itu ,Pegawai Eksekutif Pengurusan Megmilk Snow Brand Takashi Mori pula berkata dengan permintaan global yang semakin meningkat untuk sumber makanan yang mampan dan pelbagai, ramuan berasaskan tumbuhan semakin menjadi penyelesaian penting.

"Memanfaatkan kepakaran dan kawalan kualiti kami daripada industri tenusu di Jepun, kami mahu menghidupkan semula pasaran makanan berasaskan tumbuhan global serta terus menawarkan pilihan baharu yang mampan melalui pengeluaran selain penjualan daripada projek ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan