EKONOMI

PMI Pembuatan Malaysia Pada Oktober Tidak Berubah Pada 49.5, Pesanan Baharu Naik Sejak Jun

01/11/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia diselaraskan mengikut musim tidak berubah pada 49.5 pada Oktober 2024, dengan pesanan baharu meningkat untuk kali pertama sejak Jun 2024.

Menurut S&P Global, memandangkan indeks itu rendah sedikit daripada ambang neutral 50.0, ini menandakan keadaan perniagaan yang menyusut sedikit sepanjang bulan itu.

"Walaupun data terkini menunjukkan penyusutan yang berterusan dalam sektor itu, kadar kesederhanaan adalah sebahagian kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya keseluruhan perniagaan baharu meningkat untuk bulan ketujuh berturut-turut pada Oktober 2024, mencerminkan pertumbuhan yang mampan dalam pesanan eksport baharu.

"Syarikat mencatat pengambilan pesanan yang lebih tinggi daripada pelanggan di seluruh Asia Pasifik, termasuk Australia, Filipina dan Vietnam," katanya.

S&P Global berkata walaupun terdapat pengembangan dari segi nilai perolehan kontrak dalam tangan, tahap pengeluaran dalam kalangan pengeluar Malaysia berkurangan bagi bulan kelima berturut-turut berikutan situasi permintaan umum yang lemah.

Mengenai kos inflasi, katanya walaupun kos bahan mentah lebih tinggi dan turun naik kadar pertukaran yang tidak memberangsangkan menyebabkan kenaikan harga input pada Oktober 2024, kadar inflasi menurun kepada paras terendah dalam tempoh tiga bulan.

"Pada masa sama, kadar apabila syarikat menaikkan harga jualan adalah paling perlahan sejak Mei 2024," katanya

Pada masa depan, S&P Global berkata pertumbuhan pesanan baharu dijangka dapat dikekalkan pada tahun akan datang, mendorong keyakinan mengenai unjuran 12 bulan dalam pengeluaran pembuatan.

Ahli Ekonomi Market Intelligence Usamah Bhatti berkata prospek pada bulan-bulan akan datang dilihat lebih cerah; justeru syarikat berharap peningkatan baharu dalam tempahan akan dikekalkan dan dipercepat.

"Langkah ini pada akhirnya akan membawa kepada pemulihan tahap pengeluaran, yang menjadi petanda baik untuk bacaan data rasmi yang akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan