AM

Tanah Runtuh Bukit Wawasan: Kawasan Terjejas Diisytihar Selamat Didiami

01/11/2024 07:40 PM

PUCHONG, 1 Nov (Bernama) -- Kawasan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 16 Dis tahun lepas di Taman Wawasan, di sini sudah boleh kembali didiami oleh penghuni sembilan kediaman yang terjejas berikutan insiden itu. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed selepas lawatan rasmi bersama-sama pelbagai agensi berkaitan pada 28 Okt lepas.

Beliau berkata keputusan mengisytiharkan Taman Wawasan sebagai bebas bencana dan insiden tanah runtuh dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat yang diterima daripada agensi terlibat, selain mengambil kira laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Saya mengisytiharkan kawasan Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong bebas bencana tanah runtuh dan semua keluarga terlibat boleh berpindah masuk ke kediaman masing-masing berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata kos keseluruhan kerja-kerja pembaikan kawasan tanah runtuh itu berjumlah RM12.12 juta melibatkan dua fasa utama iaitu penstabilan sementara dan penstabilan kekal, bermula dari 17 Dis 2023 hingga 24 Okt 2024. 

“Pada 17 Dis 2023, MBSJ telah melantik kontraktor untuk melakukan kerja penstabilan sementara bagi memasang cerucuk keluli di kawasan runtuhan dan pembaikan longkang monsun itu sepanjang 83 meter.

“Pada 15 Mei 2024, kerja penstabilan kekal telah bermula dan mengambil masa lebih kurang enam bulan... siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dari satu tahun untuk kawasan runtuhan yang besar, yang turut melibatkan pembinaan ‘gabion wall’ dan penstabilan semula cerun,” kata Ng yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor pada sidang media perkara berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini terdapat empat keluarga memilih untuk tinggal sementara di kuarters MBSJ manakala lima lagi memilih menetap bersama saudara dan kini semua penghuni sembilan rumah boleh kembali ke kediaman mereka.

“Saya sudah dimaklumkan pada masa ini semua penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman mereka untuk berpindah kembali dalam masa terdekat. Kediaman mereka dijamin selamat dan boleh kembali bila-bila masa bermula hari ini,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ Dr Mohd Ariffuddin Kamari berkata untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penyiasatan di tapak runtuhan, pihak MBSJ sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah memeriksa kesemua keadaan.

“Pihak MBSJ juga mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk menyemak parit utama serta semakan berkala di sepanjang jajaran parit utama dari Tasik Wawasan ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan ia masih lagi kukuh,” katanya.

Pada 16 Dis 2023, kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).

Insiden telah melibatkan runtuhan seluas 0.872 hektar dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, di sini.

Sebanyak empat kenderaan turut tertimbus dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan