JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan Pemancing Yang Dilaporkan Hilang Pada Jumaat Ditemukan Selamat

02/11/2024 08:23 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Lapan lelaki yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing dari Jeti Semariang Batu dengan sebuah bot pada Selasa lepas ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemukan bot yang dinaiki kesemua lelaki pada 1.45 tengah hari tadi.

“Bot pancing tersebut kemudian ditunda kembali ke Jeti Semariang Batu dan kesemua mangsa tiba dengan selamat pada 5.25 petang. 

"Punca kejadian adalah disebabkan masalah enjin bot yang dialami semasa perjalanan pulang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh sebelum ini memaklumkan pemancing terbabit ialah Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33, Mohamad Haikal Sharkawi, 17, Mohd Azizi Hamzi, 17, Dahlan Ramli, 41, Hasrin Ismail, 53, Johari Bujang, 51, dan Abdullah Ajek, 56.

Menurut ahli keluarga seorang daripada mangsa, kesemua pemancing dijadualkan pulang pada Khamis tetapi gagal tiba yang menyebabkan laporan polis dibuat berhubung kehilangan mereka petang semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan