AM

Suzana Idayu Wati Dilantik Pengarah Besar FELDA

05/11/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Ahli Lembaga Pengarah Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman dilantik sebagai Pengarah Besar Felda yang baharu berkuat kuasa hari ini, menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan.

Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang telah menamatkan perkhidmatan pada 14 Okt lepas.

“Ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara. Langkah ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemacu utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan,” menurut kenyataan itu.

Felda berkata pelantikan Suzana Idayu Wati diyakini akan membawa organisasi itu ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.

Suzana Idayu Wati mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan Felda pada 2008.

Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan dan pengurusan aset institusi.

Suzana Idayu Wati yang berkelulusan Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia juga menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah Felcra.

“Sumbangan beliau semasa menjadi Pengerusi MSPO menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan lestari. Komitmen ini penting bagi memastikan Felda memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

Ahli Lembaga Pengarah Felda dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Felda seperti FGV Holdings, MSM Holdings dan Encorp Berhad itu turut memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan