AM

Kelantan Akan Usul Cadangan Bina Tembok Di Sempadan Malaysia-Thailand

05/11/2024 09:27 PM

KOTA BHARU, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata projek ini amat diperlukan untuk membanteras jenayah penyeludupan serta mengatasi masalah banjir.

“Walaupun pihak berkuasa menjalankan kawalan ketat di sempadan, kewujudan banyak pangkalan haram menyukarkan usaha penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata pemilikan tanah individu di kawasan berdekatan sempadan menambah kesukaran dalam mengekang aktiviti penyeludupan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand untuk menangani jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, mengulas mengenai Rafflesia yang semakin diancam kepupusan di Kelantan, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 400 hektar di Lojing, Gua Musang untuk tujuan pemuliharaan sejak 2011, melibatkan spesies Kerri, Cantleyi dan Sumeiae.

“Rafflesia adalah khazanah alam yang memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk memajukan lagi industri pelancongan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Pada 2022, kerajaan negeri secara rasmi mengumumkan kawasan itu sebagai Taman Pemuliharaan Rafflesia,” katanya sambil menekankan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong kajian penyelidikan pemuliharaan bunga itu dan ekosistem sekitarnya.

Beliau berkata sebagai negeri yang memiliki banyak khazanah alam seperti hutan dan sungai, masih banyak penyelidikan yang perlu dilakukan termasuk ke atas bunga parasit itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan