KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kebangkitan politik yang luar biasa dan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Dalam hantaran di Facebook dan X, Anwar berkata babak baharu ini membawa peluang yang diperbaharui dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan kerjasama, optimisme, dan matlamat bersama.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden baharu ini bagi meraih manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Anwar menekankan bahawa AS kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri berkata Malaysia berharap AS akan memberi nafas baharu dalam penglibatannya dengan Asia Tenggara.
“Kami juga menggesa AS menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menghentikan keganasan dan kehilangan nyawa yang dahsyat di Palestin dan Ukraine,” katanya.
Calon Republikan Trump, 78, telah mengisytiharkan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 mengatasi calon Demokrat, Kamala Harris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial