DUNIA

CICC Berminat Wujudkan Dana Strategik Bagi Sokong Pelaburan

07/11/2024 03:24 PM

Daripada Massita Ahmad

BEIJING, 7 Nov (Bernama) -- China International Capital Corporation (CICC) menyatakan minat untuk bekerjasama dengan dana Malaysia bagi mewujudkan dana strategik yang menyokong pelaburan dalam sektor baharu dan berteknologi tinggi, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO). 

Katanya CICC dan China Investment Corporation (CIC) berkongsi minat yang tinggi untuk melabur di Malaysia, terutamanya dengan memudah cara syarikat China berkembang ke Asia Tenggara.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik prospek peningkatan pelaburan dari China dan menekankan hubungan perdagangan dan ekonomi yang erat antara Malaysia dan China. 

“Malaysia turut komited untuk menggalakkan kerjasama serantau, berdasarkan peranannya dalam menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China,” menurut PMO, selepas mesyuarat perniagaan antara Anwar dengan CICC dan CIC pagi ini di sini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CIC Peng Chun, Ahli Jawatankuasa Eksekutif CIC Bao Jianmin, Jabatan Pelaburan Ekuiti Persendirian II CIC Tian Yuan, Pengerusi China Galaxy Securities Wang Sheng dan Presiden CICC Capital Long Liang.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozlan Abdul Ghani dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad. 

Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan dan akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua.

Pemimpin ASEAN akan menjemput China untuk menjadi sebahagian daripada mesyuarat ASEAN-GCC buat kali pertama.

Sementara itu, CICC ialah syarikat pengurusan pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional milik negara itu, ditubuhkan pada 1995.

Ia menyediakan perbankan pelaburan, sekuriti dan perkhidmatan pengurusan pelaburan kepada syarikat, institusi dan individu di seluruh dunia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam lawatan kerja selama empat hari ke China bermula 4 November. 

Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Li Qiang, menekankan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan China. 

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Ini adalah kunjungan ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada Mac 2023 disusuli lawatan kedua pada September tahun yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan