AM

Lebih 4,000 Pesawah MADA Terkesan Banjir Terima Bantuan Ihsan PM

11/11/2024 03:00 PM

ALOR SETAR, 11 Nov (Bernama) -- Seramai 4,233 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini yang terjejas akibat banjir pada September lepas menerima sumbangan ihsan Perdana Menteri berjumlah RM4.23 juta.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata setiap pesawah menerima RM1,000 bagi membantu mereka menampung kerugian yang dialami akibat bencana itu dan untuk mengusahakan tanaman padi bagi musim seterusnya.

“Keseluruhan peladang kita yang terlibat yang telah diangkat dan diluluskan oleh jawatankuasa adalah seramai 4,233 orang dan daripada situ, pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah bersetuju untuk memberi sumbangan RM1,000 setiap orang.

“Jadi, daripada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kita, 21 PPK terlibat yang membabitkan keseluruhan kerugian lebih RM29.43 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Ihsan Perdana Menteri kepada pesawah yang terlibat bencana banjir fasa 1 negeri Kedah yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

Ismail berkata selain daripada bantuan ihsan itu, pihak MADA juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah yang terjejas.

Beliau berkata permohonan penyaluran bantuan TBTP telah pun dikemukakan kepada pihak kementerian dan berada di peringkat akhir untuk kelulusan sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.

“Jadi maknanya, dengan duit sumbangan ihsan Perdana Menteri dan ditambah bantuan TBTP dalam masa terdekat, Insya-Allah sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan bebanan peladang kita untuk mengerjakan bendang pada musim akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah yang menerima bantuan ihsan berkenaan, Aziz Hussein, 57, merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya untuk tanaman padi bagi musim kedua.

“Kawasan padi saya yang terjejas banjir baru-baru ini sebanyak lima relong (1.43 hektar), hasil yang diperoleh daripada kawasan yang terjejas itu dalam satu relong (0.28 hektar) sahaja, tak balik modal, terpaksa tambah lagi modal untuk tampung kerugian.

Bagi Awang Isa Fatardin, 64, dia bersyukur di atas bantuan segera kerajaan itu yang dapat membela nasib ‘pak tani’ yang semakin terbeban dengan kenaikan kos tanaman padi.

“Kalau boleh juga, naik taraf saliran sungai dan parit di kawasan sawah untuk bantu pak tani…bila banjir baru-baru ini, sawah tenggelam 20 ke 30 hari bukan sehari dua sebab saliran tersumbat, padi jadi rosak sebab lama tenggelam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan