Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menjalin kerjasama dengan Maybank melancarkan HomeClick, platform dalam talian menyeluruh untuk menambah baik serta melancarkan urusan pembelian rumah oleh pembeli.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah berkata syarikat itu menyasarkan untuk memudahkan pengalaman pembeli rumah dengan menawarkan pendekatan mengutamakan digital yang sekali gus menjadikan proses lebih mudah dan telus.
“Platform ini bukan hanya sekadar kemudahan dalam talian, ia mencerminkan komitmen kami untuk bergerak seiring mengikut keperluan pelanggan dalam era digital, memastikan pemilikan rumah boleh diakses secara digital dengan berkesan dan lancar,” katanya kepada Bernama pada pelancaran kemudahan dalam talian baharu itu hari ini.
Mengenai jangkaan kesan HomeClick terhadap jualan, Sufian yakin dengan potensinya yang akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan UEM Sunrise.
“Kami menjangkakan langganan platform itu akan meningkat, namun masih terlalu awal untuk berkongsi angka yang tepat,” katanya sambil menambah UEM Sunrise sedang berusaha memasukkan perjanjian jual dan beli elektronik (eSPA) sebagai sebahagian daripada proses penyelarasan.
Bagaimanapun, Sufian menjelaskan pelaksanaan eSPA akan bergantung kepada kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ketika ini, HomeClick disediakan di Residensi ZIG, Kiara Bay dan menyediakan bakal pembeli pengalaman digital sepenuhnya, menawarkan ciri-ciri utama seperti tempahan unit dalam talian, membolehkan pembeli memilih serta mendapatkan rumah idaman dengan hanya beberapa klik.
HomeClick turut disepadukan dengan kemudahan kewangan Maybank Home2u, membolehkan proses permohonan pinjaman dalam talian lebih pantas menerusi platform itu.
“Dengan penyepaduan ini, pembeli rumah UEM Sunrise yang layak boleh mendapatkan kelulusan kewangan hampir serta merta iaitu hanya 10 saat, manakala surat tawaran akan dikeluarkan dalam tempoh satu jam.
“Selain itu, terdapat ciri saringan pinjaman pilihan yang disediakan oleh Finology untuk semakan kelayakan sebelum permohonan dihantar,” tambah Sufian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial