EKONOMI

Malaysia, Peru Komited Kepada Multilateralisme Bagi Tangani Cabaran Global, Serantau

14/11/2024 01:00 PM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Peru menegaskan komitmen kukuh mereka terhadap multilateralisme, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai teras, serta berkongsi pandangan yang sama mengenai kepentingan memperkukuh institusi multilateralisme untuk menangani cabaran global dan serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra juga bersetuju untuk menjadikan tadbir urus global lebih representatif, berkesan dan bertanggungjawab.

“Kedua-dua pemimpin turut berjanji secara prinsipnya untuk mempertimbangkan pencalonan masing-masing secara positif dalam organisasi serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan bersama daripada kedua-dua pemimpin itu yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Anwar dan Dina Ercilia turut menyatakan rasa puas hati terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak diwujudkan pada 24 April 1986.

Dalam kenyataan tersebut, Peru menyatakan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap status Peru sebagai “Rakan Pembangunan ASEAN” dan menegaskan komitmennya untuk terus meneroka kerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dalam rangka kerja Jawatankuasa Perkongsian Pembangunan ASEAN-Peru.

Anwar dan Dina Ercilia juga bersetuju untuk memperkukuh hubungan antara rantau antara Perikatan Pasifik dan ASEAN dalam bidang yang saling memberi manfaat, berdasarkan cadangan yang dikongsi pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Perikatan Pasifik ke-7 pada 25 Sept 2024.

Peru memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, dengan harapan untuk mencapai matlamat berkaitan menggalakkan keterangkuman dan kemampanan sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 2025 di Kuala Lumpur.

Malaysia turut menyatakan penghargaan kepada Peru atas kepimpinannya pada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 berdasarkan kemajuan penting yang dicapai dalam menggalakkan kerjasama dan dialog dalam kalangan ekonomi anggota manakala Peru menyatakan terima kasih atas sumbangan Malaysia dalam semua mesyuarat APEC sepanjang 2024.

Mengenai isu Palestin, kedua-dua pemimpin menekankan keperluan kepada penyelesaian politik yang kekal, menggesa kepada gencatan senjata yang segera dan kekal terhadap konflik di Gaza serta bantuan kemanusiaan yang berterusan.

Lawatan Anwar, yang termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 November, dijangka mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.

Ia merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu dan ke rantau Amerika Latin dan Caribbean sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Peru, sebuah negara yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di bahagian timurnya.

Lima, ibu negara Peru dengan jumlah penduduk seramai 11.36 juta, menganjurkan mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan