EKONOMI

PM Anwar Lancar Pengoperasian Kilang Pemasangan Proton Di Mesir

12/11/2024 08:37 PM

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 12 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad di sini yang dijangka mula beroperasi Disember tahun ini.

Anwar berkata pemasangan kereta model Proton Saga di Mesir itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.

“Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, ia adalah kebanggaan negara, ia adalah jenama yang dikaitkan dengan Malaysia... terkenal di banyak negara malah di Eropah,” kata beliau menerusi ucapannya pada majlis pelancaran tersebut.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Mesir Kamel Al-Wazir dan Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments Hisham Ezz Elarab.

Perdana Menteri berkata, usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.

“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” kata beliau.

Menurut Anwar, rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan kereta Proton Saga itu akan menambah eksport kereta Proton ke Mesir kepada 16,000 unit antara 2024 hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sebanyak RM570 juta.

“Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar berkata pihaknya akan terus meneroka pasaran baharu bagi memastikan jenama kereta tempatan itu terus maju.

Beliau berkata setiap tahun eksport Proton semakin meningkat dan dalam tempoh jangka sederhana syarikat itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utamanya bagi rantau utara benua Afrika.

Menurutnya, pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir itu akan menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat berkenaan di luar negara.

“Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan