AM

Sekolah Agama Rakyat Terus Diperkasa, Benteng Akidah Ummah - PM Anwar

24/01/2026 03:19 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkasa sekolah-sekolah agama rakyat termasuk institusi pondok dan tahfiz di seluruh negara melalui peruntukan khas bagi menambah baik kemudahan serta kelengkapan pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun lepas dan meningkat kepada RM200 juta tahun ini bagi menambah baik kemudahan termasuk melibatkan 11 projek sekolah agama serta pondok di Pulau Pinang.

“Kita mahu mengangkat martabat pendidikan agama kerana pondok dan sekolah agama rakyat ini menjadi benteng pertahanan akidah dan akhlak ummah sejak sekian lama.

“Institusi pondok juga mempunyai sejarah penting sejak zaman penjajahan kerana ketika kuasa asing menguasai sistem pendidikan dan pemikiran rakyat, pondok menjadi benteng mempertahankan akidah, akhlak serta jati diri umat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Kubang Ulu, di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan menghormati pendekatan serta manhaj tarbiah yang ditetapkan oleh golongan ulama dan guru-guru di pondok seterusnya berharap mereka dapat memberikan kerjasama supaya usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan selari dengan perkembangan semasa.

Perdana Menteri mengulangi bahawa institusi pendidikan agama perlu terus diperkasakan tanpa mengabaikan keperluan penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

“Kalau kita tidak kuasai AI, orang lain yang tidak memahami nilai dan agama akan menguasai bidang ini. Teknologi itu seperti komputer dan buku, ada yang membawa manfaat dan ada yang membawa mudarat. Sebab itu kita mesti tahu dan menguasainya,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar mahu sekolah-sekolah agama memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta menambah pengetahuan sejarah Malaysia supaya generasi muda memahami asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata langkah itu penting agar pelajar sekolah agama mengetahui jaminan utama termaktub dalam Perlembagaan termasuk Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping menghormati hak seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kalau kita hendak maju, kita kena gapai yang di langit dengan ilmu dan teknologi, tetapi kita mengakar ke bumi dengan nilai, adab dan akhlak,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan beliau akan berbincang dengan beberapa pemimpin dan tokoh berkaitan termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bagi merangka pendekatan terbaik untuk memperkasa sekolah agama dan institusi pondok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan