EKONOMI

Pertumbuhan APEC Diunjur Menyederhana Kepada 3.1 Peratus Pada 2025

12/11/2024 11:37 PM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 12 Nov (Bernama) -- Faktor ekonomi dan geopolitik memperlahankan pertumbuhan di rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang terdiri daripada 21 negara anggota, menurut laporan Analisis Trend Serantau APEC.

Mengikuti pertumbuhan global, kadar pertumbuhan rantau ini dijangka menyederhana kepada 3.1 peratus pada 2025 daripada 3.5 peratus pada 2024 dan dijangka berada pada 2.7 peratus dalam jangka sederhana.

Rantau APEC sedang mengharungi cabaran ekonomi yang ketara apabila keadaan global berkembang.

"Daripada pertumbuhan sederhana dan populasi yang semakin tua kepada keadaan mendesak untuk peralihan tenaga, APEC kini menghadapi tempoh kritikal yang memerlukan pembaharuan strategik dan koperasi untuk membina daya tahan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Risiko termasuk hutang yang semakin meningkat, ketidaktentuan memuncak dan ketegangan geopolitik menimbulkan pengehadan selanjutnya kepada potensi ekonomi rantau tersebut.

Bagaimanapun, teknologi inovatif membantu menurunkan inflasi, diterjemahkan kepada penggunaan lebih tinggi dan pembaharuan struktur teras menawarkan laluan untuk mengukuhkan produktiviti dan memastikan kestabilan ekonomi di rantau berkenaan.

Laporan itu mengunjurkan inflasi menurun kepada 2.9 peratus pada 2024 daripada 3.8 peratus pada 2023 dan berkurangan kepada 2.4 peratus dalam jangka sederhana.

"Data terkini menunjukkan bahawa lebih separuh daripada negara anggota APEC telah melaraskan dasar monetari mereka manakala beberapa negara mengurangkan kadar faedah sejajar dengan ramalan inflasi yang semakin berkurangan."

Namun, pihak berkuasa perlu sentiasa berhati-hati terhadap turun naik mata wang dan risiko yang berkaitan dengan penurunan kadar faedah secara mendadak.

“Pengetatan dasar monetari telah mengurangkan inflasi tetapi apabila kadar dasar diselaraskan, perlu berhati-hati untuk menguruskan turun naik kadar pertukaran,” kata Pengarah Unit Sokongan Dasar (PSU) APEC, Carlos Kuriyama,

“Pihak berkuasa perlu berwaspada untuk menurunkan kadar faedah secara drastik untuk mengelakkan kejatuhan nilai mata wang yang ketara berbanding dolar US (mata wang Amerika Syarikat),” Kuriyama.

"Pendekatan berhati-hati ini akan membantu mengekalkan kestabilan makroekonomi," katanya.

Perdagangan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, disokong oleh inflasi lebih rendah dan kadar faedah.

Bagaimanapun, langkah perlindungan menimbulkan risiko kepada pertumbuhan perdagangan.

Setakat Oktober 2024, sekatan perdagangan di rantau ini telah mencapai 345 manakala remedi perdagangan lebih tinggi pada 944 langkah dilakukan.

“Perlindungan termasuk garis tarif yang meningkat, mengancam pertumbuhan perdagangan dan menjejaskan hubungan ekonomi dalam kalangan ahli APEC.

"Komitmen baharu untuk kerjasama dalam isu perdagangan adalah penting untuk mengekalkan momentum positif APEC dalam menghadapi cabaran global yang berkembang,” ” kata Penganalisis PSU dan Pengarang Bersama laporan itu, Rhea C. Hernando.

Laporan itu juga menekankan bahawa kemajuan teknologi memberikan peluang produktiviti tetapi juga menuntut peningkatan pelaburan dalam tenaga mampan.

Dalam pada itu, Penyelidik PSU dan Pengarang Bersama laporan berkenaan, Glacer Niño A. Vasquez berkata: “Melabur dalam teknologi inovatif dan peralihan kepada amalan inklusif dan mampan adalah penting untuk daya tahan jangka panjang APEC.”

"Bagaimanapun, permintaan tenaga yang dijana oleh teknologi baharu menimbulkan cabaran kemampanan, memerlukan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan dasar hijau,” katanya.

Laporan tersebut menekankan bahawa peningkatan permintaan untuk Kecerdasan Buatan atau ‘AI’, pelepasan karbon rendah dan teknologi inovatif yang lain telah mendorong harga logam, mengekalkan harga emas, perak dan tembaga tinggi setakat September 2024.

Khususnya emas, ia telah menyaksikan lonjakan harga apabila pelabur semakin melihatnya sebagai lindung nilai terhadap ketidaktentuan global.

Selain itu, demografi penuaan rantau ini dijangka mencabar kestabilan ekonomi, cadangan utama termasuk memupuk penyertaan tenaga kerja yang lebih lama, menyesuaikan sistem pencen dan mempromosikan automasi dan kesaksamaan jantina di tempat kerja.

"Peralihan demografi ke arah populasi yang semakin tua sudahpun memberikan tekanan fiskal di seluruh rantau APEC," kata Hernando.

“Menangani penurunan jumlah tenaga kerja dan kesan ekonomi lain akan memerlukan pendekatan transformatif, daripada pilihan kerja yang fleksibel untuk individu lebih tua kepada inisiatif kesaksamaan jantina yang menyokong penyertaan ekonomi.

“Untuk menghadapi cabaran yang saling berkaitan ini, negara anggota APEC mesti melaksanakan dasar monetari dan fiskal yang seimbang bersama-sama dengan melaksanakan pembaharuan struktur teras,” kata Kuriyama.

“Usaha kerjasama di seluruh rantau APEC akan menyokong masa depan ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan