AM

2,633 Pokok Ditanam Menerusi Inisiatif 'Tree Of Tomorrow' MNRB

13/11/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Syarikat induk kewangan MNRB Holdings Berhad (MNRB) menamatkan kempen menanam pokok Tree of Tomorrow dengan cemerlang apabila berjaya menanam 2,633 pokok di seluruh negara, jauh melepasi sasaran awal.

Inisiatif yang bertujuan mempromosikan kelestarian alam sekitar dan pemulihan hutan itu berjaya disudahi dengan kejayaan mengatasi sasaran awal penanaman 2,500 pokok.

MNRB dalam kenyataan memaklumkan pencapaian penting ini dicapai dalam fasa akhir Tree of Tomorrow 6.0  yang diadakan di Taman Alam Kuala Selangor, baru-baru ini dengan penanaman 700 pokok.

“Melalui Tree of Tomorrow MNRB dengan bangga menyokong "Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, 2021-2025” Malaysia, satu kempen nasional yang bertujuan memulihkan kawasan hutan dan mempromosikan biodiversiti. Kerjasama ini menekankan komitmen MNRB untuk menyokong masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk negara.

“Di bawah program ini, pokok-pokok telah ditanam di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, termasuk di Selangor iaitu di Hutan Simpan Bukit Lagong, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz dan Taman Alam Kuala Selangor di samping Hutan Simpan Sungai Merbok di Kedah,” menurut MNRB dalam kenyataan hari ini.

Dilancarkan pada Februari 2024 sempena ulang tahun ke-50 MNRB, inisiatif Tree of Tomorrow menekankan komitmen MNRB terhadap penjagaan alam sekitar, dengan fokus untuk menyokong pemulihan hutan dan biodiversiti di Malaysia.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kesedaran dalaman tentang kelestarian, didorong oleh dedikasi mereka untuk menjadi Organisasi Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad yang mewakili Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata penyempurnaan inisiatif ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kelestarian MNRB, memperkukuh matlamat untuk memberi impak positif kepada ekosistem hutan Malaysia.

“MNRB kekal komited dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar dan menyokong matlamat alam sekitar yang lebih luas di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu seorang sukarelawan Mohamad Syaqir Aiman berkata penglibatannya dalam program  Tree of Tomorrow adalah pengalaman yang bermakna, membolehkannya menyumbang kepada masyarakat dengan menanam pokok untuk generasi akan datang.

“Bertemu penganjur daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memperdalamkan pemahaman saya mengenai kepentingan menanam pokok dan komitmen kami untuk mengekalkan hutan Malaysia,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan Muhamad Syafiq Shafie berkata acara ini meningkatkan kesedaran tentang kelestarian dan membantu berinteraksi lebih berkesan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, selain memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai cara dan di mana mereka boleh menyumbang kepada usaha kelestarian.

Kejayaan inisiatif Tree of Tomorrow didorong oleh usaha kolektif kakitangan Kumpulan MNRB di seluruh negara, dengan penyertaan pasukan dari Ibu Pejabat, Sungai Petani, Klang, Putrajaya dan Kuantan.

MNRB turut bekerjasama dengan komuniti utama termasuk Kolej Alam Bina UiTM Shah Alam, Komuniti Kampung Tiram, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak di Merbok, Kedah; SMK Ungku Aziz di Sabak Bernam, Selangor dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan