AM

KPM Setuju Pengambilan Guru Baharu Dipecah Mengikut Tiga Wilayah

14/11/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pengambilan guru baharu dipecahkan mengikut tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, adalah antara keputusan penting yang dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah. 

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Putrajaya pada Selasa lepas.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara serta satu tututan baharu dikemukakan kerajaan Sabah berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan. 

"KPM bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan. Ini dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu juga menyebut KPM meluluskan lima tuntutan tambahan dikemukakan kerajaan negeri itu seperti yang telah diluluskan kepada kerajaan Sarawak, iaitu melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.

Pada Ogos lepas, media tempatan Sabah melaporkan Mohd Arifin sebagai berkata kerajaan negeri telah mencadangkan supaya citra sejarah Sabah dimasukkan dalam kurikulum sekolah bagi membolehkan pelajar menghayati fakta sebenar sejarah Negeri di Bawah Bayu itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan